DAFTAR Vaksin Covid-19. FOTO arkib NSTP
DAFTAR Vaksin Covid-19. FOTO arkib NSTP
Nor Fazlina Abdul Rahim


Kota Bharu: Pendaftaran untuk suntikan vaksin Covid-19 dalam kalangan masyarakat di Kelantan masih rendah berdasarkan rekod aplikasi mySejahtera.

Pengarah Jabatan Kesihatan Negeri Kelantan Datuk Dr Zaini Hussin berkata, sehingga semalam seramai 259,000 penduduk di negeri itu yang baru mendaftar.

Katanya, jumlah itu masih rendah berikutan sasaran pihaknya adalah seramai 1.2 juta penduduk di negeri itu yang akan divaksin.

"Setakat ini mereka yang mendaftar untuk menerima vaksin masih rendah dan Kelantan berada di kedudukan negeri ketiga terakhir di Malaysia yang masih rendah mendaftar.

"Justeru, kita berharap orang ramai dapat mendaftar untuk menerima vaksin secepat mungkin," katanya ketika dihubungi, di sini, hari ini.

Dr Zaini berkata, antara kegagalan penduduk di Kelantan mendaftar untuk menerima vaksin disebabkan kebanyakan mereka mungkin bersikap tunggu dan lihat.

"Kebanyakan mereka mungkin mahu melihat orang lain terlebih dahulu menerima vaksin sebelum mengambil keputusan untuk mendaftar.

"Disebabkan jumlah yang masih rendah, Jabatan Kesihatan Negeri dengan pelbagai agensi termasuk kerajaan negeri mengadakan pelbagai program turun padang bagi memberi pendedahan pentingnya suntikan vaksin Covid-19," katanya.

Beliau berkata, bermula 26 April ini, pihaknya akan memulakan suntikan kepada warga emas yang mendaftar.

"Sehingga kini pasukan barisan hadapan sudah selesai menerima vaksin," katanya.

  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 14 April 2021 @ 3:20 PM