GAMBAR HIASAN
GAMBAR HIASAN
Nor Fazlina Abdul Rahim


Kota Bharu: Jabatan Kesihatan Negeri Kelantan memaklumkan hampir 10,000 penduduk yang gagal hadir janji temu suntikan vaksin Covid-19, digantikan dengan individu lain.

Pengarah Jabatan Kesihatan Negeri, Datuk Dr Zaini Hussin, berkata suntikan berkenaan digantikan kepada mereka yang memenuhi kriteria penerima vaksin fasa dua.

Katanya, tidak berlaku pembaziran vaksin walaupun ketidakhadiran penduduk sebagaimana dilaporkan.

"Malah masih ramai rakyat negeri Kelantan yang mengharapkan mereka akan mendapat suntikan vaksin lebih awal tanpa perlu menunggu tarikh yang akan diberikan melalui aplikasi MySejahtera.

"Mana-mana penerima vaksin yang tidak hadir, kita akan gantikan dengan penerima dari kumpulan yang sama, jadi tiada pembaziran vaksin," katanya menerusi kenyataan media di sini, hari ini.

Mengulas lanjut, Dr Zaini mengingatkan orang ramai supaya tidak 'walk in' ke Pusat Pemberian Vaksin (PPV), kerana setiap ketidakhadiran penerima sudah ada senarai individu yang dipanggil.

"Orang ramai juga dinasihatkan untuk sentiasa menyemak MySejahtera bagi mengetahui status jemputan untuk vaksinasi.

"Sila patuhi tarikh dan masa janji temu. Jika tidak dapat hadir atas sebab yang tidak dapat dielakkan, maklumkan kepada PPV untuk penjadualan semula janji temu," katanya.

Mengulas lanjut, Dr Zaini berkata, sehingga semalam bilangan yang sudah mendapat suntikan fasa kedua bagi dos pertama adalah 35,905 individu atau 17.2 peratus daripada 208,480 individu yang layak dan mendaftar dalam MySejahtera.

"Prestasi pendaftaran rakyat Kelantan menerusi aplikasi MySejahtera bagi mereka yang berusia 60 tahun ke atas setakat ini seramai 66,314 individu daripada anggaran bilangan sebenar yang layak adalah 208,470 individu," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 26 Mei 2021 @ 1:00 PM