PETUGAS kesihatan memberi suntikan vaksin kepada orang ramai. FOTO Faiz Anuar.
PETUGAS kesihatan memberi suntikan vaksin kepada orang ramai. FOTO Faiz Anuar.
Mohd Amin Jalil


Seremban: Kerajaan negeri melahirkan kebimbangan berikutan jumlah penerima vaksin Covid-19 di Negeri Sembilan masih rendah, iaitu 7.66 peratus daripada jumlah mendaftar.

Menteri Besar, Datuk Seri Aminuddin Harun berkata, masih terdapat kalangan mereka yang menerima janji temu bagi penerimaan suntikan tetapi gagal menghadirkan diri di Pusat Penerimaan Vaksin (PPV) ditetapkan.

Katanya, penerimaan suntikan vaksin Coivd-19 ketika ini amat penting berikutan kadar wabak berkenaan yang menunjukkan peningkatan dan membimbangkan.

"Kerajaan negeri berharap rakyat negeri ini mengambil dos vaksin sekiranya sudah mendapat janji temu.

"Orang ramai diminta menyemak aplikasi MySejahtera dari semasa ke semasa bagi memastikan tarikh vaksinasi ditetapkan, manakala bagi mereka yang belum mendaftar, perlu berbuat demikian secepat mungkin.

"Kegagalan mereka mendaftar boleh menjejaskan Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (PICK) yang sedang diusahakan kerajaan," katanya di sini, hari ini.

Sementara itu, Aminuddin berkata, peningkatan jumlah kes positif Covid-19 harian di Negeri Sembilan sejak beberapa minggu lalu memerlukan setiap individu mengamalkan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) kendiri bagi memutuskan rantaian jangkitan.

Menurutnya, jika terdapat keperluan untuk keluar, terapkan konsep yang disarankan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dari segi penjagaan kebersihan selain mematuhi prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan Majlis Keselamatan Negara (MKN).

"Inilah di antara ikhtiar yang boleh dilakukan dalam kehidupan seharian bagi mengawal penularan Covid-19.

"Selain itu, kita juga dituntut memperbanyakkan doa agar diberikan kekuatan menghadapi sebarang jenis musibah dan ujian serta berdoa agar musibah yang datang boleh kita hadapi," katanya.

  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 22 Mei 2021 @ 2:39 PM