Zaini Hussin ketika hadir melawat Pusat Pemberian Vaksin (PPV) di Dewan Perniagaan Cina Kelantan, di sini, hari ini. FOTO NIK ABDULLAH NIK OMAR
Zaini Hussin ketika hadir melawat Pusat Pemberian Vaksin (PPV) di Dewan Perniagaan Cina Kelantan, di sini, hari ini. FOTO NIK ABDULLAH NIK OMAR
Nor Fazlina Abdul Rahim


Kota Bharu: Kelantan tidak berdepan sebarang masalah berhubung bekalan vaksin Covid-19 setakat ini.

Pengarah Kesihatan Kelantan, Datuk Dr Zaini Hussin berkata, setakat ini Kelantan menerima bekalan seperti yang dijadualkan iaitu 50,000 dos seminggu.

"Kita sudah menggunakan 97 peratus dos vaksin yang diterima dengan mengagihkan kepada Pusat Pemberian Vaksin (PPV) awam atau outreach.

"Dari segi bekalan, kita masih bertahan dengan jumlah suntikan setiap hari adalah 10,000 hingga 12,000 individu," katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui ketika mengiringi Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-Undang), Datuk Seri Takiyuddin Hassan di PPV Outreach Dewan Perniagaan Cina, di sini, hari ini.

Pada masa sama, Dr Zaini berkata, dua Pusat Kuarantin dan Rawatan Covid-19 Berisiko Rendah (PKRC) sudah ditutup sejak minggu lalu berikutan penurunan kes di negeri itu.

Katanya, ia adalah PKRC Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Salor dan PKRC Lembaga Kemajuan Pertanian Kemubu (KADA).

"Tiga lagi PKRC diletakkan dalam mod sedia. Sehingga kini Kelantan mempunyai 11 PKRC," katanya.

Katanya, sehingga semalam, seramai 625,000 penduduk di Kelantan berdaftar untuk mendapatkan suntikan vaksin.

"Daripada jumlah berkenaan, 206,216 individu menerima dos pertama, manakala 111,916 individu sudah menerima dos kedua," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 27 Jun 2021 @ 4:58 PM