Ismail Sabri Yaakob.
Ismail Sabri Yaakob.
Oleh Ekhwan Haque Fazlul Haque


Kuala Lumpur: Kerajaan negeri dinasihatkan untuk mengikuti prosedur operasi standard (SOP) ditetapkan Kerajaan Persekutuan bagi mengelakkan kekeliruan dalam kalangan rakyat.

Menteri Kanan (Keselamatan) Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, bagaimanapun kerajaan negeri masih boleh menggunakan budi bicara untuk menetapkan sebarang SOP tambahan.

Katanya, Kerajaan Persekutuan juga memberi kebenaran kepada kerajaan negeri mengetatkan SOP sedia ada namun tidak boleh melonggarkannya.

"Apabila Majlis Keselamatan Negara (MKN) menetapkan sesuatu kebenaran mengenai perkara yang perlu dilaksanakan, ia sepatutnya diikuti setiap negeri.

"Tapi kerajaan berpandangan kerajaan negeri boleh guna budi bicara berdasarkan kes di negeri masing-masing.

"Kerajaan negeri juga boleh buat peraturan lebih ketat tapi tidak boleh melonggarkan SOP ditetapkan Kerajaan Persekutuan," katanya dalam sidang media harian Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), hari ini.

Dalam pada itu, kerajaan mengesan masih banyak berita palsu tular di laman sosial sehingga mengundang kebimbangan masyarakat.

Beliau berkata, ada klip audio yang mendakwa PKP akan dilaksanakan semula di Kelantan walaupun tiada sebarang pengumuman rasmi dibuat.

"Jika ada perkembangan lanjut seperti di Kelantan, saya sendiri akan umumkan.

"Apabila berita palsu Kelantan akan dilaksanakan PKP, sudah pasti rakyat akan panik," katanya.

  • Lagi berita berkaitan Covid-19

  • Lagi berita berkaitan perintah kawalan pergerakan
  • Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 12 April 2021 @ 7:08 PM