Azman Kang Abdullah.
Azman Kang Abdullah.
Ekhwan Haque Fazlul Haque


Kuala Lumpur: Pihak berkuasa perlu adil agar tidak timbul persepsi 'pilih kasih' dalam penguatkuasaan prosedur operasi standard (SOP) Covid-19.

Aktivis masyarakat, Azman Kang Abdullah berkata, penguatkuasaan sama rata ini memberikan gambaran tiada pilih kasih antara rakyat biasa dan golongan tertentu.

Menurutnya, masyarakat kini bebas mengkritik dan media sosial dijadikan platform meluahkan ketidakpuasan hati mereka.

"Jangan biasakan persepsi ini terus berlegar dalam masyarakat kerana ia memberikan imej tidak baik kepada kerajaan.

"Pasti akan wujud pandangan mengapa golongan tertentu seperti selebriti dan VIP tidak diambil tindakan, walaupun secara jelas melakukan kesalahan," katanya ketika dihubungi, hari ini.

Beliau berkata, jika prinsip keadilan digunakan, ia perlu dipraktikkan untuk semua lapisan masyarakat tanpa mengira status.

Katanya, pihak berkuasa juga perlu tegas namun dalam masa sama tetap ada nilai budi bicara sebelum tindakan dilaksanakan.

"Jika mereka orang kurang berkemampuan, warga emas atau bukan pesalah kesalahan berulang mungkin boleh pertimbangkan untuk diberi amaran terlebih dulu.

"Walaupun tawaran kompaun ini masih boleh dikurangkan atas budi bicara Pegawai Kesihatan Daerah, ia pasti membebankan untuk mereka yang berpendapatan rendah," katanya.

Masyarakat kini mula mempertikaikan 'penguatkuasaan terpilih' dalam kalangan selebriti dan orang kenamaan yang melakukan pelanggaran SOP.

Namun, bagi masyarakat mereka kini boleh didenda walaupun melakukan kesalahan itu secara tidak sengaja.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 23 April 2021 @ 4:28 PM