ISMAIL Sabri pada sidang media selepas Majlis Amanat Perdana Setahun Malaysia Prihatin di Putrajaya, hari ini. FOTO BERNAMA.
ISMAIL Sabri pada sidang media selepas Majlis Amanat Perdana Setahun Malaysia Prihatin di Putrajaya, hari ini. FOTO BERNAMA.
Rafidah Mat Ruzki


Putrajaya: Prosedur operasi standard (SOP) yang ketat bukan jaminan utama untuk mengekang penularan Covid-19 sekiranya Pilihan Raya Umum (PRU) diadakan dalam tempoh pandemik.

Menteri Kanan Keselamatan, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, mengambil contoh situasi yang berlaku di Sabah, jangkitan wabak itu menjadi sukar dikawal ketika Pilihan Raya Negeri (PRN) diadakan meskipun bersama SOP.

"Kita tahu mengawal pergerakan bukan satu yang mudah, tetapi kita tidak ada pilihan. Kita pernah mencapai kes positif sifar selama beberapa hari dan lama tiada kes dua digit tetapi selepas PRN Sabah, waktu itu keadaan tidak terkawal walaupun kita ada SOP.

"Sebab itu apabila rakyat kata kenapa tidak jalankan PRU, boleh perkenalkan SOP yang ketat... kita ada SOP yang ketat di Sabah, tetapi ramai yang melanggar SOP, akhirnya kes meningkat," katanya pada sidang media selepas Majlis Amanat Perdana Setahun Malaysia Prihatin di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya di sini, hari ini.

Disebabkan itu, Ismail Sabri berkata, kerajaan terpaksa memperkenalkan semula Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) apabila kes semakin meningkat.

"KKM juga memaklumkan kepada kita, 50 peratus rakyat yang dikuarantinkan di rumah (yang pulang dari luar negara selepas gelombang kedua) tidak patuh dengan SOP ditetapkan, justeru kita mengeluarkan arahan untuk memperketatkan semula kuarantin di hotel," katanya.

Menurutnya, Kelantan menjadi negeri paling terjejas apabila kerajaan melonggarkan peraturan rentas sempadan daerah dan negeri sebelum ini.

"Apabila warga Kelantan yang ada di Kuala Lumpur dan Selangor balik ke Kelantan, ia menyebabkan negeri berkenaan yang ketika itu hampir keseluruhan hijau, 65 peratus daripadanya menjadi merah.

"Ia dalam tempoh dua tiga minggu selepas kebenaran diberikan, menyebabkan kerajaan terpaksa menutup semula sempadan," katanya yang memberitahu pengenalan PKP 2.0 bukan hanya disebabkan peningkatan kes di Sabah, sebaliknya kerana berlaku peningkatan kes Covid-19 akibat pergerakan rentas negeri.

Beliau menjelaskan maklumat Kementerian Kesihatan (KKM) menunjukkan ada sebanyak 32 kluster jangkitan Covid-19 berkaitan rentas sempadan direkodkan.

  • Lagi berita berkaitan Covid-19

  • Lagi berita berkaitan perintah kawalan pergerakan
  • Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 1 Mac 2021 @ 4:47 PM