ISMAIL Sabri. FOTO Bernama
ISMAIL Sabri. FOTO Bernama
Muhaamad Hafis Nawawi


POLIS boleh menggunakan budi bicara untuk membenarkan individu melakukan perjalanan lebih dari 10 kilometer (km) dalam kes berbeza sepanjang Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dilaksanakan.

Menteri Kanan (Kluster Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, dalam undang-undang ini secara amnya pergerakan hanya boleh sekitar 10km namun polis diberi kuasa budi bicara dalam kes berbeza.

“Sebagai contoh kita dibenarkan membeli produk makanan tetapi jika tidak ada dalam lingkungan itu mereka boleh mencari di luar dari jarak itu yang terhampir iaitu seperti 11km masih dibenarkan.

“Pergerakan antara negeri ke negeri tidak dibenarkan tetapi negeri bersempadan jika keperluan itu ada di luar maksudnya membeli makanan tinggal di Gemas, Negeri Sembilan tetapi ia ada di Segamat, Johor atas budi bicara polis ia dibenarkan,” katanya pada sidang media selepas Mesyuarat Khas Menteri Mengenai PKP, di Putrajaya, hari ini.

Ismail berkata, semalam, pihaknya ada dengar individu ingin mendapatkan khidmat perubatan tetapi hospital lebih 10km menyebabkan mereka terpaksa membatalkan hasrat itu sedangkan kesihatan adalah perkara utama.

“Jika membabitkan kesihatan polis diberi budi bicara untuk membenarkan perjalanan individu dalam perkara yang saya sebut itu.

“Walaupun ada peraturan 10km namun ia bukan kemestian tetapi kita beri pada polis kelonggaran guna budi bicara,” katanya.

  • Lagi berita berkaitan perintah kawalan pergerakan
  • Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 3 April 2020 @ 3:37 PM