Nur Izzati Mohamad


Bukit Mertajam: Polis menumpaskan empat sindiket 'along' (ceti haram) susulan penahanan 29 individu termasuk seorang wanita dalam beberapa serbuan di Pulau Pinang dan Perak, kelmarin.

Operasi diadakan bermula 6 pagi di 12 lokasi di daerah Seberang Perai Tengah, Seberang Perai Utara di negeri ini serta Kerian, Perak bagi memerangi sindiket 'along'.

Hasilnya, empat sindiket dikenali Ah Boy, Ah Son, Alvin dan Ah How tumpas apabila kesemua ahli kumpulan berusia 21 hingga 54 tahun diberkas.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersial Bukit Aman, Datuk Zainuddin Yaacob berkata, polis mengadakan serbuan susulan laporan yang diterima daripada orang awam yang memaklumkan mengenai sindiket 'along' yang menggunakan kekerasan ketika menuntut hutang.

"Seramai 29 individu berusia 21 hingga 54 tahun terdiri daripada ketua kumpulan, pemberi pinjaman, pengutip wang dan pengurus ditahan

"Dalam serbuan itu, polis turut menyita pelbagai barangan dan kenderaan mewah bernilai kira-kira RM1.8 juta yang digunakan ahli sindiket.

"Sitaan membabitkan 10 kenderaan, 68 unit telefon bimbit, 27 keping kad mesin pengeluaran wang automatik, 119 cek, wang tunai sebanyak RM98,718 dan sebilah parang yang dipercayai untuk menakutkan peminjam," katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Seberang Perai Tengah, di sini, hari ini.

Zainuddin berkata, polis turut menyita 52 akaun yang digunakan sindiket membabitkan wang sebanyak RM6 juta bagi siasatan lanjut.

Katanya, berdasarkan siasatan, sindiket terbabit bergiat aktif sejak tiga tahun lalu dan menyewa tiga premis di Bukit Mertajam untuk dijadikan pejabat serta asrama pekerja.

Menurutnya, kumpulan ini didapati menakut-nakutkan peminjam yang gagal membayar hutang dengan mengugut dan menyimbah cat merah pada dinding rumah mangsa.

"Sindiket itu beroperasi menggunakan media sosial bagi mengiklankan pinjaman dan mensasarkan peminjam daripada kategori peniaga, kakitangan kerajaan dan swasta yang terjejas ekoran Covid-19.

"Kadar faedah yang ditetapkan juga begitu tinggi iaitu di antara 10 hingga 15 peratus sebulan sehingga mengakibatkan peminjam terbeban untuk membayarnya," katanya.

Beliau berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 5 (2) dan Seksyen 29 B (1) Akta Pemberi Pinjam Wang 1951, Seksyen 506 dan Seksyen 427 Kanun Keseksaan serta Seksyen 6 (1) Akta Bahan-bahan Kakisan dan Letupan dan Senjata Berbahaya 1958

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 10 April 2021 @ 8:16 PM
Zainuddin Yaacob (dua dari kanan) menunjukkan sebilah parang dan wang tunai sebanyak RM98,718 yang dirampas dalam tangkapan sindiket pemberi pinjaman wang tanpa lesen pada sidang media di Ibu Pejabat Daerah Seberang Perai Tengah, Pulau Pinang. FOTO MIKAIL ONG
Zainuddin Yaacob (dua dari kanan) menunjukkan sebilah parang dan wang tunai sebanyak RM98,718 yang dirampas dalam tangkapan sindiket pemberi pinjaman wang tanpa lesen pada sidang media di Ibu Pejabat Daerah Seberang Perai Tengah, Pulau Pinang. FOTO MIKAIL ONG