Nur Izzati Mohamad


Kepala Batas: Mengambil dan menyimpan kad mesin juruwang automatik (ATM) daripada peminjam sebagai cagaran, kemudian mengeluarkan wang gaji mereka pada setiap bulan mengikut kadar dipersetujui.

Itu modus operandi yang dilakukan sindiket pemberi pinjaman wang tidak berlesen atau along yang didalangi dua lelaki tempatan dan seorang wanita Laos berusia antara 24 hingga 30 tahun.

Kegiatan mereka bertiga akhirnya berjaya ditumpaskan selepas polis menyerbu sebuah kondominium dekat Jalan Raja Uda di sini, pada 4 petang, Jumaat lalu.

Ketua Polis Daerah Seberang Perai Utara, Asisten Komisioner Noorzainy Mohd Noor berkata, serbuan menemui 1,141 keping kad ATM milik peminjam; wang tunai berjumlah RM140,565; resit; dokumen; borang pinjaman dan mesin pengira wang.

"Siasatan awal mendapati kad ATM itu dipegang ketiga-tiga suspek sebagai cagaran dan setiap bulan, mereka akan ke bank untuk mengeluarkan wang gaji peminjam yang perlu dibayar kepada mereka," katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Seberang Perai Utara di sini, hari ini.

Noorzainy berkata, sindiket itu mula beroperasi sejak Februari lalu, termasuk aktif ketika Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dikuatkuasakan, malah siasatan mendapati dua suspek lelaki yang berasal dari negeri ini adalah pekerja syarikat pinjaman wang berlesen di Taiping, Perak dan Arau, Perlis.

Katanya, wanita warga asing itu pula masuk ke negara ini pada Mac lalu dan mereka menyewa kondominium berkenaan kerana mahu memudahkan urusan pengeluaran wang disebabkan lokasi yang strategik, termasuk dekat dengan semua rangkaian bank.

ASISTEN Komisioner Noorzainy Mohd Noor menunjukkan kad ATM dan wang tunai yang dirampas terhadap sindiket pemberi pinjaman wang tidak berlesen atau ah long ketika sidang media di IPD Seberang Perai Utara.  FOTO Nur Izzati Mohamad
ASISTEN Komisioner Noorzainy Mohd Noor menunjukkan kad ATM dan wang tunai yang dirampas terhadap sindiket pemberi pinjaman wang tidak berlesen atau ah long ketika sidang media di IPD Seberang Perai Utara. FOTO Nur Izzati Mohamad

"Seorang daripada tiga suspek ditahan mempunyai rekod jenayah lampau berkaitan kes dadah," katanya yang memberitahu ketiga-tiga suspek ditahan reman sehingga Rabu untuk siasatan mengikut Seksyen 5 (2) Akta Pemberi Pinjaman Wang Tanpa Lesen 1951.

Orang awam yang menjadi mangsa kepada sindiket terbabit diminta tampil untuk membantu siasatan.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 5 Oktober 2020 @ 5:28 PM