Nur Izzati Mohamad


Kepala Batas: Menyerang, mengurung dan memukul peminjam yang gagal melunaskan hutang di sebuah rumah kemudian mengugut ahli keluarganya membuat bayaran jika mahu mangsa dilepaskan.

Itu tindakan yang dilakukan lima ahli sindiket pemberi pinjaman wang tidak berlesen yang beroperasi sejak setahun lalu terhadap peminjam yang culas membayar hutang pada masa ditetapkan.

Bagaimanapun, perbuatan kelima-lima lelaki berusia 23 hingga 37 tahun itu berakhir apabila polis melancarkan Op Cantas Vulture dengan menyerbu sebuah rumah yang dijadikan premis operasi sindiket terbabit di Sungai Petani, Kedah pada Sabtu lalu.

Ketua Polis Daerah Seberang Perai Utara, Asisten Komisioner Noorzainy Mohd Noor berkata, serbuan dijalankan selepas polis menerima satu laporan seorang peminjam berada bersama sindiket berkenaan berikutan dia gagal membayar hutangnya.

"Laporan polis itu dibuat oleh abang peminjam terbabit selepas dia menerima panggilan telefon pada 3 petang Jumaat lalu daripada seorang Ah Long menyatakan adiknya berada bersama mereka kerana berhutang sebanyak RM3,000.

NOORZAINY (kiri) menunjukkan pelbagai senjata dan barangan termasuk kad Mesin Juruwang Automatik (ATM) yang dirampas dalam serbuan di sebuah rumah yang dijadikan pusat operasi sindiket pemberi wang tidak berlesen di Sungai Petani, Kedah. FOTO NUR IZZATI MOHAMAD
NOORZAINY (kiri) menunjukkan pelbagai senjata dan barangan termasuk kad Mesin Juruwang Automatik (ATM) yang dirampas dalam serbuan di sebuah rumah yang dijadikan pusat operasi sindiket pemberi wang tidak berlesen di Sungai Petani, Kedah. FOTO NUR IZZATI MOHAMAD

"Sindiket itu meminta abang peminjam membayar RM1,500 selepas diberikan diskaun, namun Ah Long menghubungi semula dan meminta peminjam bercakap sendiri dengan abangnya supaya membuat bayaran atau peminjam akan dibunuh.

"Abang peminjam kemudian menerima khidmat pesanan ringkas (SMS) supaya membuat pembayaran RM2,000 secepat mungkin dan hutang akan dianggap selesai, namun disebabkan rasa takut serta curiga abang peminjam terus datang membuat laporan polis," katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Seberang Perai Utara, di sini, hari ini.

Katanya, polis berjaya menjejaki keberadaan sindiket terbabit melalui maklumat yang diperoleh lalu membuat tangkapan serta menyelamatkan peminjam yang berada bersama mereka.

"Ketika serbuan didapati tangan peminjam diikat dan dia dikurung di sebuah bilik dalam rumah yang dijadikan pusat operasi sindiket terbabit.

"Dalam serbuan itu, polis merampas pelbagai barang dan senjata tajam yang digunakan sindiket dalam memeras ugut mangsa mereka antaranya beberapa jenis pisau, pedang serta tali untuk mengikat mangsa.

"Selain itu, beberapa buah telefon bimbit dan kad juruwang automatik (ATM) turut dirampas untuk siasatan lanjut," katanya.

Menurutnya, siasatan ke atas dalang sindiket itu mendapati dia bertindak menyerang, mengurung dan memukul mangsa kerana peminjam berkenaan melanggar syarat yang ditetapkan.

Katanya, kelima-lima suspek disambung reman selama tiga hari bermula hari ini selepas tempoh reman sebelum itu tamat hari ini bagi membantu siasatan.

"Kes akan disiasat mengikut Seksyen 385 Kanun Keseksaan, Seksyen 7 Akta Bahan Kakisan dan Senjata Berjadual 1958," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 9 November 2020 @ 3:07 PM