SEBAHAGIAN makanan kucing yang ditahan di ICQS Bukit Kayu Hitam kerana tidak mempunyai permit sah MAQIS. FOTO IHSAN MAQIS
SEBAHAGIAN makanan kucing yang ditahan di ICQS Bukit Kayu Hitam kerana tidak mempunyai permit sah MAQIS. FOTO IHSAN MAQIS
Noorazura Abdul Rahman


Alor Setar: Jabatan Perkhidmatan Kuarantin dan Pemeriksaan Malaysia (MAQIS) merampas 1.6 tan makanan kucing dari Thailand yang cuba diseludup masuk ke negara ini di Kompleks Imigresen, Kastam, Kuarantin dan Keselamatan (ICQS) Bukit Kayu Hitam, di sini, kelmarin.

Pengarah Maqis Kedah Lily Rosalind Paul berkata, pihaknya menahan lori membawa makanan haiwan itu selepas didapati tiada permit yang sah kira-kira 4.45 petang.

"Hasil pemeriksaan terhadap lori terbabit mendapati sebanyak 200 kotak makanan haiwan dianggarkan bernilai RM8,641 cuba dibawa masuk ke Malaysia untuk pasaran tempatan.

"Kesemua barangan itu dirampas untuk tindakan lanjut kerana tidak mempunyai sebarang dokumen dan permit import yang sah daripada Maqis," katanya dalam kenyataan, hari ini.

Rosalind berkata, perbuatan mengimport tanpa permit menjadi kesalahan mengikut Seksyen 11(1), Akta Perkhidmatan Kuarantin dan Pemeriksaan Malaysia 2011 (Akta 728).

Katanya, jika sabit kesalahan pengimport boleh didenda tidak melebihi RM100,000 atau penjara tidak lebih enam tahun atau kedua-duanya sekali di bawah Seksyen 11(3) akta yang sama.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 2 April 2021 @ 4:29 PM