GAMBAR hiasan. FOTO arkib NSTP
GAMBAR hiasan. FOTO arkib NSTP
Zuliaty Zulkiffli


Alor Setar: Sebarang aktiviti di kawasan pantai dan laut di negeri ini perlu dijauhi berikutan amaran angin kencang dan laut bergelora diramal berlaku di perairan Kedah bermula Rabu ini.

Pengarah Pejabat Meteorologi Kedah Muhammad Khalil Abd Aziz berkata, amaran angin kencang dan laut bergelora diramalkan berlaku di kawasan Perlis, Kedah dan Pulau Pinang.

Menurutnya, angin kencang barat daya dijangka berkelajuan 50 hingga 60 kilometer sejam dan ombak setinggi 4.5 meter dijangka berlaku sehingga 3 April ini.

"Keadaan ini amat berbahaya kepada semua aktiviti perkapalan dan pantai termasuk menangkap ikan dan perkhidmatan feri.

"Oleh yang demikian, saya nasihatkan terutama bot nelayan di laut atau pemancing supaya berhati-hati dengan menjauhi tempat berisiko dan melakukan aktiviti beriadah di tepi pantai dan laut pada ketika itu bagi mengelakkan kejadian tidak diingini berlaku," katanya ketika dihubungi hari ini.

Muhammad Khalil berkata, orang ramai perlu mematuhi arahan amaran yang dikeluarkan oleh Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) disebabkan berlaku monsun peralihan ketika ini.

Beliau berkata, buat masa sekarang ini, kawasan utara lembap berbanding biasa dan ada hujan serta ribut petir.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 29 Mac 2021 @ 4:57 PM