Zuliaty Zulkiffli

Alor Setar: Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Kedah bersiap sedia dengan sebarang kemungkinan yang berlaku di pantai negeri ini berikutan ramalan laut bergelora dan angin kencang, esok.

Ketua Bahagian Operasi Bencana APM Kedah, Kapten (PA) Saifuddin Abdullah berkata, ombak setinggi 4.5 meter dijangka berlaku sepanjang tempoh waktu itu dan dikhuatiri memberi kesan kepada orang awam khususnya di pesisir pantai.

Menurutnya, ia berikutan kawasan pantai seperti di Pantai Cenang dan Pantai Tengah, Langkawi; Pantai Merdeka, Kuala Muda dan Kota Marina, Kuala Kedah menjadi tumpuan ramai ketika musim cuti sekolah ini.

"Sebagai langkah berjaga-jaga, APM menempatkan anggota penyelamat pantai di kawasan berkenaan sebagai persediaan sekiranya berlaku cuaca buruk dan kemalangan di pantai.

"Setiap menara penyelamat pantai ditempatkan enam anggota bertugas yang bergilir-gilir mengikut syif setiap hari.

"Pada masa sama, anggota APM akan membuat hebahan kepada pelancong untuk mengingatkan mereka mengenai laut bergelora dan angin kencang yang diramalkan berlaku esok," katanya.

Menurutnya, orang ramai perlu mematuhi arahan sekiranya cuaca buruk dan menjauhi kawasan pantai bagi mengelakkan sebarang kemungkinan berlaku.

Katanya, amaran angin kencang dan laut bergelora dijangka berlaku esok dan berlarutan sehingga 3 April ini.

ANGGOTA APM Kota Setar melakukan pemantauan di sekitar pesisir pantai Kota Marina di Kuala Kedah untuk memastikan keadaan di kawasan itu selamat berikutan ramalan laut bergelora dan angin kencang menyebabkan ombak setimggi 4.5 meter berlaku esok.FOTO Zuliaty Zulkiffli
ANGGOTA APM Kota Setar melakukan pemantauan di sekitar pesisir pantai Kota Marina di Kuala Kedah untuk memastikan keadaan di kawasan itu selamat berikutan ramalan laut bergelora dan angin kencang menyebabkan ombak setimggi 4.5 meter berlaku esok.FOTO Zuliaty Zulkiffli

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 30 Mac 2021 @ 5:30 PM