AZHAR menanggalkan poster pinjaman wang tanpa lesen dalam operasi di sekitar Kulim. FOTO Ihsan PDRM
AZHAR menanggalkan poster pinjaman wang tanpa lesen dalam operasi di sekitar Kulim. FOTO Ihsan PDRM
Zuliaty Zulkiffli

Kulim: Laporkan kepada polis sekiranya ternampak individu yang mencurigakan menampal poster atau iklan pinjaman wang tanpa lesen atau 'along' di sekitar daerah ini.

Tindakan itu boleh menghalang kegiatan kumpulan itu untuk melakukan vandalisme dengan menampal iklan atau poster yang boleh mencacatkan kawasan berkenaan.

Ketua Polis Daerah Kulim Superintendan Azhar Hashim berkata, kebanyakan yang menampal poster pinjaman wang tidak berlesen ini adalah dalam kalangan individu yang diupah untuk melakukan tugas itu.

Menurutnya, tidak mustahil juga perbuatan itu dilakukan anggota kumpulan along itu sendiri untuk menarik minat mangsanya yang terdesak bagi melakukan pinjaman mudah.

"Biasanya mereka akan menampal poster atau iklan itu pada waktu tengah malam atau siang iaitu pada waktu kurang sibuk.

"Sekiranya orang ramai ternampak kegiatan mereka lakukan, boleh menghubungi polis untuk tindakan lanjut," katanya ketika dihubungi hari ini.

Azhar berkata, pihaknya dari Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kulim bersama Majlis Perbandaran Kulim (MPK) dan Kulim Hi Tech hari ini melakukan operasi menanggalkan poster dan iklan wang tanpa lesen di sekitar daerah itu.

Beliau berkata, dalam operasi bermula 9 pagi hingga 12 tengah hari itu, sebanyak 533 poster dan iklan haram ditanggalkan.

Azhar berkata, tindakan menurunkan iklan, poster dan pelekat pinjaman wang tanpa lesen adalah berdasarkan Akta Kerajaan Tempatan 1976, Undang-Undang Kecil Vandalisme Seksyen 3(1) (B) Pihak Berkuasa Tempatan.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 28 Mac 2021 @ 5:07 PM