Penguat kuasa MDPT menunjukkan 430 iklan wang haram yang ditanggalkan dan disita di sekitar daerah Padang Terap. FOTO Ihsan MDPT
Penguat kuasa MDPT menunjukkan 430 iklan wang haram yang ditanggalkan dan disita di sekitar daerah Padang Terap. FOTO Ihsan MDPT
Noorazura Abdul Rahman


MAJLIS Daerah Padang Terap (MDPT) menurunkan 430 iklan along dalam operasi khas bagi membanteras kegiatan pinjaman wang haram di Padang Terap semalam.

Setiausahanya, Zulhusni Mohamad Rashid berkata, operasi dijalankan di sekitar daerah itu bermula 9 pagi hingga 2 petang.

“Operasi tertumpu kepada poster iklan along yang dipasang atau dilekatkan pada tiang lampu, tembok dan bangunan di pekan ini.

“Oktober lalu kita baru saja mengadakan operasi yang sama dengan pihak polis, tapi kini ia kembali tumbuh seperti cendawan.

“Mereka tak serik walaupun ada pernah ditangkap sebelum ini, mereka yang ditahan adalah individu mengambil upah memasang iklan ini dengan kadar antara 10 hingga 30 sen bagi setiap unit iklan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Zulhusni berkata, beberapa individu yang ditahan sebelum ini diserahkan kepada polis untuk tindakan lanjut.

Katanya, hasil siasatan mendapati kerja menampal dan memasang iklan ini dijalankan antara 7 hingga 8 malam serta 2 hingga 4 pagi bagi mengelak kegiatan mereka dihidu pihak berkuasa.

“Pada masa sama kita mohon kerjasama orang ramai melaporkan kepada kami atau polis jika ternampak pihak tidak bertanggungjawab melakukan kerja ini.

“Mereka ini orang luar, kita akan terus berusaha membendung kegiatan iklan along ini.

“Sepanjang 2019, 1,500 iklan seumpama itu sudah diturunkan dan disita,” katanya.

Beliau berkata, pihaknya turut mengumpulkan nombor telefon pada iklan berkenaan sebelum diserahkan kepada Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) untuk membatalkan perkhidmatan nombor terbabit.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 1 January 2020 @ 2:59 PM