Polis dengan kerjasama anggota penguatkuasa MPK menurunkan poster pinjaman wang tanpa lesen di sekitar bandar Klang, hari ini.--  Foto BERNAMA
Polis dengan kerjasama anggota penguatkuasa MPK menurunkan poster pinjaman wang tanpa lesen di sekitar bandar Klang, hari ini.-- Foto BERNAMA
BERNAMA

Klang: Polis Klang Utara hari ini, menurunkan 700 iklan 'along' menerusi operasi khas bagi membanteras aktiviti peminjaman wang haram.

Ketua Polis Daerah Klang Utara, ACP Mohd Yusoff Mamat berkata operasi itu dibuat di tiga lokasi iaitu sekitar Jalan Pekan Baru, Jalan Goh Huat dan Taman Barkeley.

"Operasi yang bermula 9 pagi hingga 12 tengah hari dengan kerjasama Majlis Perbandaran Klang (MPK), tertumpu kepada poster iklan along yang dipasang atau dilekat pada tiang lampu, tembok dan bangunan di kawasan berkenaan," katanya dalam kenyataan di sini.

Beliau berkata pihaknya mengumpul nombor telefon pada iklan untuk diserahkan kepada Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) bagi pembatalan perkhidmatan nombor terbabit.

“Untuk rekod, dalam tempoh empat bulan pertama tahun ini, kami menerima 16 kes berkaitan ceti haram atau along dan 16 aduan berhubung pinjaman tidak wujud berpunca daripada iklan pemberi wang tanpa lesen ini," katanya.

Mohd Yusoff berkata sehubungan itu, pihaknya akan giat melakukan operasi menanggalkan iklan pinjaman wang haram tersebut bagi mengekang orang ramai menjadi mangsa.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 4 Mei 2016 @ 8:06 PM