GAMBAR hiasan. FOTO arkib NSTP
GAMBAR hiasan. FOTO arkib NSTP
Amir Abd Hamid


Kuala Lumpur: Rakyat Malaysia mudah lupa. Itu antara komen Pengarah Pusat Penyelidikan dan Pendidikan Penyakit Berjangkit Tropika (TIDREC), Universiti Malaya, Prof Dr Sazaly Abu Bakar berhubung trend mengadakan kembali majlis membabitkan kehadiran ramai walaupun kes Covid-19 masih dianggap tinggi, empat angka.

Beliau yang juga pakar virologi mengakui kealpaan orang ramai gagal mematuhi prosedur operasi standard (SOP) menerusi penganjuran majlis besar boleh menyebabkan usaha kerajaan kawal Covid-19 gagal.

Menurutnya, pasar raya pun sudah penuh sesak dengan pengunjung selain sekolah serta universiti yang dibuka juga boleh menyumbang peningkatan kes jika SOP tidak dijaga.

"Kemungkinan kita akan melalui gelombang besar sekali lagi? (gelombang penularan jangkitan Covid-19).

"Saranan saya, segerakan pengambilan dan pemberian vaksin bagi yang berisiko, yang berumur lebih dari 50 tahun wajar diberikan keutamaan.

"Teruskan penggunaan pelitup muka, penjarakan fizikal dan memastikan sentiasa berada di tempat yang mempunyai peraliran udara dengan baik," katanya.

Tular akhir-akhir ini di media sosial penganjuran majlis besar seperti majlis kahwin, kenduri, perjumpaan politik, pertunjukkan fesyen dan sebagainya.

Ia bukan sahaja membabitkan kalangan rakyat biasa malah golongan selebriti dan pemimpin hingga menjadi perdebatan di media sosial.

Sementara itu, Pakar Perubatan Kesihatan Awam, Jabatan Kesihatan Masyarakat, Fakulti Perubatan Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) Prof Madya Dr Azmawati Mohammed Nawi berkata, walaupun kerajaan membenarkan penganjuran majlis, memang tak dinafikan masih ramai masyarakat pelbagai peringkat dan lapisan gagal patuhi SOP.

"Ini mungkin kerana norma baharu masih belum dapat dipraktikkan sepenuhnya. Mungkin ini boleh menjadikan punca kawalan wabak Covid-19 sukar dikawal.

"Ada sesetengah pihak perlu mengadakan majlis bagi tujuan promosi perniagaan mereka kerana ini adalah ruang penjanaan ekonomi mereka.

"Namun pihak penganjur harus bertanggungjawab menjaga SOP orang ramai yang datang ke majlis," katanya.

Menurutnya, kadang kala masyarakat terlupa berada dalam norma baharu yang praktiknya tidak seperti dahulu.

Beliau berpandangan, tanggungjawab untuk mematuhi SOP bukan bergantung kepada undang-undang sahaja tetapi kesedaran dan tanggungjawab rakyat Malaysia untuk perangi Covid-19 secara keseluruhan.

"Waktu dan zaman dah berubah. Zaman sekarang zaman pandemik Covid-19 yang memerlukan kita rakyat Malaysia tanpa mengira pangkat dan darjat wajar untuk berubah patuhi SOP bagi membantu Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) memerangi pandemik ini.

"Penganjuran majlis perlu mengikut SOP ditetapkan. Kita tak mahu wujud kluster baharu akibat majlis kenduri, pertunjukan fesyen dan sebagainya," katanya.

Untuk rekod setakat semalam, kes baharu jangkitan Covid-19 adalah 1,199 menjadikan sebanyak 340,642 kes kumulatif.

Manakala jumlah pemberian vaksin setakat semalam adalah 566,200 iaitu membabitkan 448,187 dos pertama dan 118,013 dos kedua.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 28 Mac 2021 @ 4:27 PM