GAMBAR hiasan. FOTO Bernama
GAMBAR hiasan. FOTO Bernama
Siti Rohana Idris


Kota Bharu: Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) akan dikuatkuasakan di Pondok Darul Naim, Padang Halban, di sini, berikutan penularan wabak Covid-19 sehingga mencetuskan Kluster Halban.

Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Perumahan dan Kesihatan negeri, Dr Izani Husin berkata, ia diputuskan dalam Mesyuarat Khas Jawatankuasa Kerja Keselamatan Negeri (JKKN) Kelantan yang bersidang hari ini.

"Kami memutuskan untuk isytiharkan PKPD yang akan berkuat kuasa secepat mungkin dan permohonan segera mengenainya sudah dibuat kepada Majlis Keselamatan Negara (MKN) hari ini.

"Walaupun belum dikuatkuasakan lagi, pihak pengurusan pondok itu sendiri sudah menjalankan langkah kuarantin dengan semua penghuninya tidak keluar dari kawasan berkenaan," katanya ketika sidang media di Bilik Gerakan Negeri, Kompleks Darulnaim, di sini, hari ini.

Semalam, Kelantan merekodkan 85 kes positif Covid-19 iaitu tertinggi sejak penularan wabak berkenaan dengan dua kluster baharu iaitu Kluster Halban dan Kluster Seragam Chepa.

Hari ini, Kelantan merekodkan 31 kes positif Covid-19.

Dr Izani berkata, bagi Kluster Seragam Chepa pula, pihak syarikat yang berkaitan memberi persetujuan agar menghentikan sementara operasi dengan semua pekerja dipakaikan gelang dan menjalankan ujian calitan serta dikuarantin.

Menurutnya, daripada 31 kes baharu itu, 11 adalah membabitkan penularan dari zon merah iaitu Selangor yang dipercayai pulang ke sini sempena cuti perayaan.

"Kajian yang dibuat oleh Jabatan Kesihatan Negeri mendapati punca penyebaran adalah daripada perkumpulan terutamanya membabitkan kenduri, pertemuan semula dan sebagainya.

"Disebabkan itu kami juga membuat keputusan agar majlis kenduri yang akan diadakan selepas ini hanya boleh dihadiri 50 tetamu saja pada satu-satu masa berbanding sebelum ini 150 orang.

"Selain itu, kenduri juga hanya dihadiri tetamu dewasa saja dan majlis sebolehnya dilangsungkan bermula jam 12 tengah hari hingga 4 petang," katanya sambil memberitahu sebarang keraian yang ingin diadakan perlu mendapat kelulusan pihak berkuasa terlebih dulu.

Dr Izani berkata, peningkatan kes Covid-19 di negeri ini agak menggusarkan dan jika terus bertambah, pihaknya tidak akan teragak-agak untuk kembali menguatkuasakan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB).

Menurutnya lagi, pelaksanaan prosedur operasi standard (SOP) masih perlu dipatuhi pada masa sekarang dan perlanggaran terhadapnya akan membawa kepada denda.

"Atas persetujuan bersama, kita akan cuba kawal (penularan), tapi jika tak dapat, saya mohon maaf kepada rakyat kemungkinan akan isytihar PKPB, masih dalam perkiraan," katanya.

  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 27 Disember 2020 @ 6:24 PM