Foto hiasan
Foto hiasan
Mohd Amin Jalil

Seremban: Situasi kes positif Covid-19 membabitkan pelajar dan pensyarah Kolej Matrikulasi Negeri Sembilan (KMNS) di Kuala Pilah dekat sini, berada dalam keadaan terkawal ketika ini.

Menteri Besar Negeri Sembilan Datuk Seri Aminuddin Harun berkata, semua mereka yang dikesan positif itu masih dikuarantin.

"Keadaan di KMNS terkawal dan Jabatan Kesihatan Negeri Sembilan (JKNNS) dan Pusat Kesihatan Daerah (PKD) terus memantau perkembangannya.

"Sehingga kini, ia masih dipantau dan diharap kesemua mereka pulih," katanya selepas mempengerusikan mesyuarat mingguan exco di Wisma Negeri di sini, hari ini.

Setakat ini, terdapat 39 individu dikesan positif Covid-19 di KMNS membabitkan Kluster Intan Delima 2.

Kesemua mereka sedang menjalani kuarantin di rumah dan asrama KMNS selain di Pusat Kuarantin dan Rawatan Covid-19 Berisiko Rendah (PKRC) di Kuala Pilah.

Dalam perkembangan sama, Aminuddin berkata, pihaknya bimbang dengan keadaan kes wabak berkenaan di negeri itu yang bersifat seperti 'yoyo' kerana merekodkan turun dan naik kes baharu.

Beliau berkata, pihaknya mendapati terdapat segelintir individu yang mengabaikan prosedur operasi standard (SOP) ditetapkan hingga membawa kepada penyebaran wabak berkenaan.

"Yang kita bimbangkan ada segelintir penduduk leka dan tidak mematuhi SOP terutama ketika mengadakan majlis kenduri, kahwin dan sebagainya.

"Ini yang kita bimbangkan dan perlu diberikan perhatian kerana pada hujung minggu ramai yang berkunjung ke Negeri Sembilan.

"Saya berharap perkara ini diberikan perhatian supaya wabak ini dapat dibendung dan kita tidak menjadi antara penyebar Covid-19," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 8 Disember 2021 @ 4:32 PM