Rumah nenek yang disamun hari ini. FOTO Ihsan PDRM
Rumah nenek yang disamun hari ini. FOTO Ihsan PDRM
Safuri Kamarudin


WANITA warga emas cedera di kepala dan mata selepas ditumbuk lelaki yang menyamun barangan kemas serta wang tunai di rumahnya di Pekan Pulai, Baling hari ini.

Dalam kejadian jam 7.45 pagi itu, mangsa berusia 70 tahun yang tinggal bersendirian didatangi lelaki berusia 54 tahun sebelum dia menumbuk dan merentap barangan kemas yang dipakainya.

Ketua Polis Daerah Baling, Superintendan Shariffuddin Yusuf berkata, mangsa ditumbuk beberapa kali oleh suspek menyebabkannya cedera di kepala dan mata.

Menurutnya, ketika kejadian mangsa turut menjerit meminta pertolongan daripada jirannya yang tinggal 50 meter dari rumahnya menyebabkan suspek melarikan diri.

“Barangan kemas yang disamun adalah rantai leher, loket, rantai tangan dan wang tunai kira-kira RM300.

“Ketika kejadian tidak ada saksi untuk membantu sebaliknya hanya jeritan kuat wanita berkenaan menyebabkan suspek melarikan diri, ” katanya.

Shariffuddin berkata, wanita itu dihantar ke Hospital Baling (HB) untuk menerima rawatan pesakit luar.

“Susulan itu, kita berjaya mengesan suspek sebelum menahannya di belakang Sekolah Kebangsaan (SK) Pulai, jam 9.30 pagi.

“Polis kemudian merampas semula seutas rantai berloket, seutas rantai tangan dan wang tunai RM43 daripada suspek,” katanya.

Beliau berkata, semakan juga mendapati suspek memiliki rekod jenayah lampau berkaitan dadah.

“Siasatan lanjut dijalankan mengikut Seksyen 394 Kanun Keseksaan kerana menyamun,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 20 January 2019 @ 6:08 PM