Omar  (kanan)menyerahkan cek kepada Shanmugaraj bagi kolaborasi antara TNB dan MNS dalam menanam 1,000 pokok bakau di Chuah, Port Dickson, Negeri Sembilan pada 12 Januari 2021.
Omar (kanan)menyerahkan cek kepada Shanmugaraj bagi kolaborasi antara TNB dan MNS dalam menanam 1,000 pokok bakau di Chuah, Port Dickson, Negeri Sembilan pada 12 Januari 2021.
Raja Noraina Raja Rahim


Kuala Lumpur: Tenaga Nasional Berhad (TNB) mensasarkan menanam 1,000 anak pokok bakau di Chuah, Port Dickson dalam tempoh setahun, selaras komitmen pemuliharaan dan pemeliharaan alam sekitar.

Pengurus Besar (Hal Ehwal Korporat) TNB Datuk Omar Sidek berkata, projek usahasama pihaknya dan Persatuan Pencinta Alam Malaysia (MNS) itu bermula bulan ini sehingga Januari 2022.

Menurutnya, ia adalah kolaborasi kedua selepas kali pertama menerusi program penanaman 1,000 anak pokok bakau di Pulau Ketam, Perlis pada Disember 2019.

"Projek ini adalah memenuhi Matlamat Pembangunan Lestari (SDG) Program Pembangunan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNDP), selain membantu menyelesaikan isu alam sekitar dan memberi manfaat kepada masyarakat setempat serta hidupan liar.

"Kawasan pesisiran pantai sepanjang Selat Melaka sudah lama terkesan akibat hakisan dan degradasi tanah.

"Pokok bakau menjadi pelindung kawasan pesisiran pantai daripada air pasang dan menjadi habitat kepada ikan, kerang serta ketam yang mampu dijadikan sumber pendapatan kepada nelayan," katanya dalam kenyataan, hari ini.

Omar berkata, TNB sudah menanam 23,600 anak pokok bakau menerusi program pemulihan hutan bakau sejak 2013.

Antara lokasi penanaman di Sungai Limau dan Kampung Sungai Tiram, Manjung, Perak; Kampung Kuala Sungai Acheh, Nibong Tebal, Pulau Pinang; Kampung Kuantan, Kuala Selangor, Selangor; Kampung Dew, Taiping dan Pasir Panjang, Kinta, Perak; Kampung Sungai Timun, Rembau, Negeri Sembilan; serta Kampung Yak Yah, Kemaman, Terengganu.

Sementara itu, Pengarah Eksekutif MNS IS Shanmugaraj berkata, dengan adanya sokongan TNB, program itu menyasarkan kewujudan habitat baru bagi hidupan liar seperti memerang, burung dan reptilia serta menyediakan bekalan makanan laut lestari untuk jangka masa panjang.

"Projek ini akan membantu pemulihan kanopi sepanjang pesisiran pantai dan menjadi sebahagian daripada Kempen Penanaman 100 Juta Pokok oleh Kementerian Tenaga dan Sumber Asli (KeTSa)," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 24 January 2021 @ 5:39 PM