Hamzah Zainuddin swafoto bersama anggota polis yang hadir pada Program Malaysia Prihatin Kementerian Dalam Negeri di Dewan Banquet Bangunan Perak Darul Ridzuan. FOTO SHARUL HAFIZ ZAM
Hamzah Zainuddin swafoto bersama anggota polis yang hadir pada Program Malaysia Prihatin Kementerian Dalam Negeri di Dewan Banquet Bangunan Perak Darul Ridzuan. FOTO SHARUL HAFIZ ZAM
Balqis Jazimah Zahari


Ipoh: "Laporan penuh diperlukan agar selepas ini perkara yang diumumkan kepada rakyat lebih jelas, tidak samar-samar atau menimbulkan persepsi yang kurang baik," kata Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Hamzah Zainudin.

Beliau mengulas mengenai pendedahan Ketua Polis Negara Tan Sri Abdul Hamid Bador berhubung kartel dalam Polis Diraja Malaysia (PDRM) daripada pegawai muda untuk menjatuhkannya demi melakukan kerja kotor.

Hamzah berkata, beliau sudah menghubungi Abdul Hamid berhubung perkara itu, semalam dan meminta supaya Abdul Hamid melaporkan kepada Suruhanjaya Pasukan Polis (SPP) untuk siasatan.

"Saya sebagai Menteri tidak dimaklumkan awal (sebelum pengumuman Abdul Hamid), jadi semalam saya sudah pun menghubunginya dan meminta beliau menyediakan laporan," katanya pada sidang media selepas merasmikan Program Malaysia Prihatin KDN di Bangunan Perak Darul Ridzuan di sini, hari ini.

Beliau berharap dengan laporan itu akan memberi penjelasan yang lebih baik kepada rakyat dan tiada salah faham.

Semalam Abdul Hamid Bador dilapor berkata terdapat gerakan dalam kalangan pegawai muda PDRM yang bercita-cita untuk menjatuhkannya.

Namun, Hamzah yang juga Pengerusi SPP berkata, itu pertama kali beliau mendengar ada kartel dalam PDRM dan Abdul Hamid tidak pernah membawa isu itu kepada SPP.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 19 Mac 2021 @ 3:28 PM