ABDUL Hamid. FOTO Arkib NSTP
ABDUL Hamid. FOTO Arkib NSTP
Noor Atiqah Sulaiman

Putrajaya: Barisan Pesuruhjaya Suruhanjaya Integriti Agensi Penguatkuasaan (EAIC) mendapati bekas Ketua Polis Negara (KPN), Tan Sri Abdul Hamid Bador tidak mengambil tindakan sewajarnya membendung isu kartel dalam Polis Diraja Malaysia (PDRM) walaupun mengetahui mengenai perkara itu ketika menjawat jawatan berkenaan.

Dalam satu kenyataan bersama, EAIC berkata, walaupun Abdul Hamid mengetahui mengenai isu itu sejak 2020, beliau masih mempunyai masa dan kuasa untuk menangani isu kartel terbabit.

"Beliau selaku KPN sepatutnya mengarahkan pihak Jabatan Integriti dan Pematuhan Standard (JIPS) Bukit Aman untuk menjalankan siasatan secara terperinci dan tindakan sewajarnya perlu diambil terlebih dahulu, sebelum isu kartel ini didedahkan kepada pihak media.

"Sebaliknya beliau tidak memberikan keterangan kepada pihak JIPS Bukit Aman supaya isu kartel ini dapat disiasat dan diselesaikan.

"Malah, beliau ketika menjawat jawatan berkenaan tidak pernah membangkitkan isu kartel ini dalam Mesyuarat Suruhanjaya Pasukan Polis (SPP)," katanya dalam kenyataan bersama, hari ini.

Kenyataan bersama itu membabitkan Pengerusi EAIC, Tan Sri Sidek Hassan, Timbalan Pengerusi EAIC, Tan Sri Zainun Ali serta lima Pesuruhjaya EAic, Tan Sri Mahmood Adam, Tan Sri Aziah Ali, Datuk Alizatul Khair Osman Khairuddin, Datuk John Louis O'hara dan Prof Dr Nik Ahmad Kamal Nik Mahmod.

Sebelum ini, Mohd Sidek dilaporkan berkata, suruhanjaya berkenaan tidak dapat menentukan bahawa terdapat 'kartel' dalam pasukan polis seperti yang didakwa Abdul Hamid sebelum bersara.

Mohd Sidek dipetik berkata, EAIC sudah memuktamadkan siasatan terhadap isu yang dibangkitkan Abdul Hamid pada 18 Mac dan 22 Mac tahun lalu.

Berikutan itu, Abdul Hamid melahirkan rasa kecewa terhadap siasatan berkenaan dan menyifatkan laporan hasil daripada penemuan sistem dalam pasukan polis seperti yang diumumkan sebelum ini adalah cetek dan tidak betul. Abdul Hamid turut menyifatkan Mohd Sidek sebagai tidak biasa dengan 'sistem' polis.

Dalam pada itu, barisan EAIC sebulat suara mendapati Abdul Hamid sudah hilang haknya untuk membuat sebarang komen berkenaan isu kartel berkenaan.

Tindakan itu diambil kerana ketika rakaman percakapannya kepada EAIC, Abdul Hamid tidak menamakan mana-mana pegawai yang terbabit dalam isu kartel berkenaan selain beliau mengakui selaku KPN, dia tidak pernah membangkitkan mengenai isu kartel ini dalam mana-mana mesyuarat membabitkan Pengarah-Pengarah Jabatan PDRM Bukit Aman.

Selain itu, terdapat saksi dalam siasatan EAIC yang menyatakan bahawa kenyataan mengenai kewujudan kartel yang dibuat oleh Abdul Hamid pada saat akhir sebelum kontrak beliau tamat pada Mei 2021 menimbulkan persoalan mengenai motif dan tujuan pendedahan berkenaan.

"EAIC juga ingin menegaskan bahawa Tan Sri Abdul Hamid Bador enggan untuk dirakam percakapan lanjut bagi mendapatkan penjelasan berkenaan dengan isu-isu ini," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 28 Februari 2022 @ 4:11 PM