Kuala Lumpur: Jika benar dakwaan terdapat kartel dalam Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan cubaan menjatuhkan Ketua Polis Negara, ia perlu dipandang serius.
Bekas Ketua Polis Negara Tan Sri Musa Hassan berkata, kartel terbabit adalah satu kumpulan yang terbabit dalam kegiatan haram di mana mereka akan bersatu untuk memonopoli di mana jika benar ada pegawai polis terbabit ia perlu disiasat.
Menurutnya, jika benar dakwaan itu, pihak Polis Diraja Malaysia (PDRM) perlu mengambil tindakan tatatertib kerana kegiatan itu tidak betul.
"Ambil tindakan, tidak perlu beritahu orang awam kerana jelas ia menyalahi peraturan dan melanggar disiplin.
"Ia juga perlu dilaporkan kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) untuk disiasat," katanya ketika dihubungi hari ini.
Ketua Polis Negara Tan Sri Abdul Hamid Bador mendedahkan wujud gerakan dalam kalangan pegawai muda PDRM yang bercita-cita untuk menjatuhkannya.
Abdul Hamid mendakwa gerakan itu juga adalah kumpulan sama mendalangi kartel dalam PDRM dengan hasrat mendominasi pasukan keselamatan negara demi kepentingan mereka.
Susulan itu, Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Hamzah Zainuddin meminta Abdul Hamid melaporkan kepada Suruhanjaya Pasukan Polis (SPP) berhubung dakwaannya itu.
Berita berkaitan
• Ada 'geng kartel' cuba jatuhkan KPN [METROTV]