Zuhainy Zulkiffli


Georgetown: Peniaga ayam di Pasar Awam Pulau Tikus di sini, mendakwa dikenakan caj tambahan antara 60 sen hingga 80 sen oleh pembekal bagi setiap sekilogram ayam yang dihantar.

Caj tambahan itu dikenakan bermula hari ini, susulan penetapan harga siling runcit ayam standard bagi Semenanjung Malaysia pada RM9.40 sekilogram.

Peniaga, Abd Rahim Abdul Rahman berkata, harga ayam yang dikenakan pembekal tidak masuk akal dan tanpa mengikut harga yang ditetapkan.

"Pembekal ikut harga mereka sendiri dengan mengenakan caj penghantaran antara 60 sen hingga 80 sen malah bantu peniaga angkat barangan pun mereka caj.

"Kalau peniaga juga kenakan caj potong ayam bagi menampung kos itu, berapa pula harga yang kami boleh jual kepada pelanggan," katanya ditemui.

Sementara itu, Pengerusi Persatuan Peniaga Ayam Pulau Pinang Azizul Rahman berkata, peningkatan harga berkenaan hanya menimbulkan keresahan dan tekanan kepada peniaga.

"Kami mencadangkan supaya kerajaan memberi semula hak penyembelihan ayam di negeri ini kepada peniaga.

"Jika diberi hak penyembelihan ayam kepada peniaga, kita percaya akan dapat jual ayam pada harga lebih rendah," katanya.

Peniaga ayam di Pasar Awam Pulau Tikus di sini, mendakwa dikenakan caj tambahan antara 60 sen hingga 80 sen oleh pembekal bagi setiap sekilogram ayam yang dihantar. FOTO ZUHAINY ZULKIFFLI
Peniaga ayam di Pasar Awam Pulau Tikus di sini, mendakwa dikenakan caj tambahan antara 60 sen hingga 80 sen oleh pembekal bagi setiap sekilogram ayam yang dihantar. FOTO ZUHAINY ZULKIFFLI

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 1 Julai 2022 @ 5:03 PM