BEBERAPA pintu masuk ditutup di Pasar Air Itam ketika hari keenam Perintah Kawalan Pergerakan bagi mencegah penularan Covid-19. FOTO Danial Saad
BEBERAPA pintu masuk ditutup di Pasar Air Itam ketika hari keenam Perintah Kawalan Pergerakan bagi mencegah penularan Covid-19. FOTO Danial Saad
Zuhainy Zulkiffli

MAJLIS Bandaraya Pulau Pinang (MBPP) sudah melakukan penambahbaikan di beberapa lokasi tumpuan di Georgetown sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Jurucakap Bahagian Komunikasi Korporat dan Perhubungan Awam MBPP dalam kenyataan, hari ini, berkata sebanyak 10 pasar awam dan pasar raya juga dipasang pelekat bagi penjarakan sosial.

Katanya, pada masa sama semua pasar raya juga digalakkan untuk mengehadkan bilangan pengunjung dalam satu-satu masa di premis mereka.

“Pasar raya besar pula perlu menyediakan stok barangan mencukupi bagi mengurangkan pengunjung di pasar awam, selain diletakkan papan tanda pemakluman penjarakan sosial, ” katanya.

Menurutnya, gerai tepi jalan berhampiran Pasar Awam Pulau Tikus di Georgetown juga akan ditutup mulai esok sepanjang tempoh PKP.

Katanya, bilangan pengunjung akan dihadkan dan hanya satu pintu masuk dan keluar dibuka manakala peniaga diminta membuat jadual pusingan bagi mengurangkan kepadatan pengunjung.

“Aktiviti penyembelihan ayam dan itik juga tidak boleh dilakukan di pasar awam sepanjang tempoh PKP,” katanya.

Sementara itu, Datuk Bandar Majlis Bandaraya Seberang Perai (MBSP) Datuk Rozali Mahamud berkata, pihaknya mengambil tindakan tegas terhadap peniaga tidak patuh arahan dengan merampas dan menamatkan lesen niaga.

Menurutnya, pihaknya akan melakukan kerja disinfeksi lokasi yang kerap disentuh pengunjung seperti pemegang besi, pintu, mangkuk tandas, sinki dan pili air.

“Setakat ini peniaga Pasar Awam Bandar Tasek Mutiara dan Pasar Awam Kepala Batas sahaja belum mematuhi sepenuhnya arahan PKP dan tindakan susulan sedang diambil, ” katanya.

Sehingga kini, sebanyak 2, 252 premis di bawah MBPP dan 751 di bawah MBSP sudah diperiksa sepanjang tempoh PKP.

  • Lagi berita berkaitan perintah kawalan pergerakan
  • Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 23 Mac 2020 @ 6:21 PM