HARGA semasa telur dipamerkan di premis pembekal bekalan itu di Kuala Lumpur hari ini. FOTO Murnaena Muhammad Nasir.
HARGA semasa telur dipamerkan di premis pembekal bekalan itu di Kuala Lumpur hari ini. FOTO Murnaena Muhammad Nasir.
Murnaena Muhammad Nasir


Kuala Lumpur: Tiada kenaikan harga telur, sebaliknya bekalan barang keperluan itu lebih murah sejak beberapa minggu lalu.

Beberapa peniaga di ibu negara yang ditemui Harian Metro berkata, tidak mempunyai masalah mendapatkan atau menjual telur kepada pelanggan.

Pengurus premis membekal telur di Jalan Yew, Pudu, Faizal Rozali, 31, berkata, harga semua jenis telur kecuali gred AA dan telur kampung jatuh sejak tiga minggu lalu.

"Pengurangan harga dalam 30 sen hingga 90 sen bagi gred A hingga gred E. Kami di sini juga menjual mengikut harga pasaran dan menukar stor setiap Isnin.

"Bagi telur gred AA dan kampung pula kekal, tiada penurunan ketara," katanya ketika ditemui, hari ini.

Bagaimanapun, Faizal mengakui ada pelanggan tetapnya dalam kalangan pengusaha restoran mengurangkan belian telur sejak penularan wabak Covid-19 yang menyebabkan Perintah Kawalan Pergerakan.

"Pelanggan tetap kami juga mengurangkan jumlah pembelian daripada biasa kerana keadaan pelanggan yang tidak menentu di restorannya.

"Setakat ini, pembeli masih yakin dengan kualiti telur kami kerana isu penemuan bakteria Salmonella Enteritidis (SE) hanya membabitkan satu ladang saja," katanya.

Sementara itu, Timbalan Pengerusi Persekutuan Persatuan-Persatuan Penternak Malaysia, Lee Yoon Yeau berkata, pengeluaran berlebihan telur daripada beberapa ladang pengeluar utama, antara faktor kejatuhan harga produk itu ketika ini.

Beliau berharap kerajaan membantu mengimbangi permintaan dan penawaran telur dalam negara, agar syarikat pengeluar bekalan itu mampu meneruskan perniagaan.

"Kebanyakan pengeluar telur kini berdepan kerugian disebabkan bekalan yang berlebihan sejak negara berdepan pandemik Covid-19, juga disebabkan sektor perniagaan mengurangkan belian.

"Jika isu ini berpanjangan berkemungkinan ramai pengusaha berdepan penutupan operasi dan dikhuatiri akan menyebabkan pengurangan bekalan telur pula pada Ramadan nanti," katanya.

Berita berkaitan

Bekalan telur domestik cukup - Rosol

  • Selangor teliti tindakan Singapura
  • Operasi ladang telur digantung
  • KPDNHEP buat penilaian kesan bekalan telur
  • Singapura tarik balik telur dari Malaysia
  • Satu ladang saja terbabit isu telur tercemar
  • Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 15 Mac 2021 @ 9:31 PM