LAPORAN portal Harian Metro sebelum ini.
LAPORAN portal Harian Metro sebelum ini.
BERNAMA

Kuala Lumpur: Lay Hong Bhd akan memberi kerjasama sepenuhnya kepada Jabatan Perkhidmatan Veterinar (DVS) di Malaysia dan merancang untuk memperkukuhkan amalan kawalan dan pemantauan ladang berikutan penemuan Salmonella Enteritidis (SE) dalam telur yang dieksport daripada satu daripada ladangnya di Jeram, Selangor.

"Keutamaan kami adalah keselamatan pelanggan kami. Kami kini bekerjasama erat dengan DVS bagi menyiasat dan memantau ladang yang didakwa terbabit dengan penemuan SE itu," kata Pengarah Eksekutifnya, Datuk Yap Chor How.

Kumpulan bersetuju dengan DVS untuk menggantung operasi di ladang Jeram 1, pengeluaran dari ladang itu kebanyakannya dieksport ke Singapura.

"Operasi di ladang Jeram 1 ketika ini dihentikan daripada pasaran domestik dan eksport sementara menunggu siasatan oleh DVS selesai," katanya dalam satu kenyataan di sini, hari ini.

Beliau berkata, syarikat memberi jaminan bahawa tiada telur yang akan dijual dari ladang Jeram 1 dan kumpulan itu hanya akan menyambung semula bekalan telur dari ladang itu selepas siasatan mengenainya selesai.

Buat masa ini, semua ladang lain di Jeram (ladang Jeram 2 hingga 6) diuji negatif untuk Salmonella dan ladang itu dibahagikan kepada ladang satelit yang lebih kecil dan terpisah antara satu sama lain secara fizikal walaupun berada di Jeram.

"Setiap ladang satelit ini memiliki peralatan penggredan untuk menangani pencemaran antara ladang-ladang itu.

"Semua langkah pencegahan ini sudah dijalankan selama bertahun-tahun untuk memastikan bekalan telur kami tidak terjejas sekiranya satu daripada ladang berkenaan tercemar.

"Langkah itu membolehkan kami terus membekalkan telur dari ladang lain kepada pelanggan kami," kata Yap.

Beliau berkata, Lay Hong akan memantapkan proses pertanian syarikat dan yakin dapat mengatasi insiden itu dengan kawalan dan pemantauan yang lebih teliti pada masa depan.

Semalam, empat pengimport di Singapura diarahkan untuk menarik balik dari pasaran telur yang dihasilkan di Lay Hong Bhd Layer Farm di Jeram, Malaysia berikutan penemuan SE dalam produk itu yang boleh menyebabkan penyakit bawaan makanan sekiranya dimakan secara mentah atau kurang masak.

Berita berkaitan:

  • Isu telur: KKM, JPV periksa premis
  • Satu ladang saja terbabit isu telur tercemar
  • Selangor teliti tindakan Singapura
  • KPDNHEP jalankan penilaian kesan
  • Satu ladang saja terbabit isu telur tercemar
  • Singapura tarik balik telur dari Malaysia
  • Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 14 Mac 2021 @ 9:55 PM