FOTO HIASAN
FOTO HIASAN
Muhaamad Hafis Nawawi


Kuala Lumpur: Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) melalui Bahagian Keselamatan dan Kualiti Makanan akan bekerjasama dengan Jabatan Perkhidmatan Veterinar (JPV) bagi menjalankan pemeriksaan lanjut ke atas premis dan telur ayam yang tercemar dengan bakteria Salmonella enteritidis.

Pengarah Kanan Keselamatan dan Kualiti Makanan, Mohd Salim Dulatti berkata, KKM mengambil maklum mengenai isu penarikan balik telur ayam keluaran Malaysia dari pasaran Singapura kerana dicemari bakteria Salmonella enteritidis sebagaimana dilaporkan di laman sesawang Singapore Food Agency (SFA), 12 Mac lalu.

Menurutnya, laporan itu menyatakan pihak SFA mengarahkan telur ayam itu ditarik balik kerana dikesan tercemar dengan bakteria Salmonella enteritidis.

"Telur ayam itu mempunyai cetakan kod CES008 yang membabitkan dari Syarikat Lay Hong Berhad Layer Farm di Jeram, Selangor.

"Sehubungan itu, KKM akan bekerjasama dengan Jabatan Perkhidmatan Veterinar bagi menjalankan pemeriksaan lanjut ke atas premis dan telur ayam yang terbabit bagi mengenal pasti punca pencemaran bakteria itu," katanya dalam kenyataan hari ini.

Mohd Salim berkata, selain itu, pemantauan Salmonela enteritidis di dalam telur ayam sentiasa dijalankan.

"Sehingga kini, 364 sampel telur ayam dianalisis dan hanya dua dari sampel itu mengandungi Salmonella entritidis.

"Bagi mengelakkan keracunan makanan disebabkan bakteria ini, pengguna dinasihatkan mencuci telur ayam dengan sempurna sebelum digunakan dan elakkan menggunakan telur ayam yang retak atau pecah kerana ia mungkin tercemar dengan bakteria Salmonella enteritidis.

"Memasak telur ayam dengan sempurna sehingga bahagian kuning dan putih telur ayam menjadi keras sebelum dimakan," katanya.

Beliau berkata, sekiranya pengguna merasa ragu-ragu dengan status keselamatan makanan yang terdapat di pasaran tempatan, pengguna boleh membuat laporan kepada KKM melalui Pejabat Kesihatan Daerah (PKD) atau Jabatan Kesihatan Negeri (JKN) terdekat atau melalui laman web http://moh.spab.gov.my atau facebook Bahagian Keselamatan dan Kualiti Makanan www.facebook.com/bkkmhq.

Berita berkaitan:

  • Selangor teliti tindakan Singapura
  • KPDNHEP jalankan penilaian kesan
  • KPDNHEP buat penilaian kesan bekalan telur
  • Singapura tarik balik telur dari Malaysia
  • Satu ladang saja terbabit isu telur tercemar
  • Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 14 Mac 2021 @ 7:39 PM