GAMBAR hiasan. FOTO Fathil Asri
GAMBAR hiasan. FOTO Fathil Asri
Rafidah Mat Ruzki


Putrajaya: Libat urus antara Jabatan Perkhidmatan Veterinar dengan pengurusan syarikat Lay Hong Berhad mendapati hanya satu ladang milik syarikat itu, CES 008, yang mengeksport 100 peratus telur keluarannya ke Singapura.

Jabatan itu dalam satu kenyataan hari ini berkata, dapatan daripada libat urus dijalankan hari ini, mendapati syarikat terbabit mempunyai 10 ladang ayam iaitu dua ladang pullet (ayam muda) dan lapan ladang ayam penelur.

Kenyataan itu menyebut, pihak syarikat bersetuju untuk melaksanakan tindakan pembetulan dan pemantauan lebih kerap dan meningkatkan kawalan biosekuriti.

"Jabatan Perkhidmatan Veterinar menjalankan lawat siasat ke ladang CES 008 Lay Hong di Jeram, Selangor untuk mengenal pasti punca pencemaran Salmonella enteritidis (SE) pada telur.

"Lawatan juga membuat dayajejak sumber jangkitan SE serta menjalankan penyiasatan penyakit, menyemak rekod pemvaksinan, pengeluaran telur dan rekod program survelan penyakit di ladang serta menjalankan pensampelan (sampel persekitaran, kloaka, makanan

ternakan, air minuman dan telur) untuk pengesanan SE," katanya.

Selain itu, jabatan itu berkata, telur keluaran ladang CES 008 tidak dibenarkan dijual di pasaran tempatan

sebagai telur sajian (table egg) sehingga keputusan siasatan diperolehi.

Menurutnya, telur daripada ladang itu hanya untuk penghasilan produk telur yang melalui rawatan haba (heat treatment) di kilang pemprosesan syarikat yang terletak di Kapar dan Meru, Selangor.

Katanya, jabatan itu juga menjalankan lawat siasat dan pensampelan untuk pengujian SE terhadap semua ladang kepunyaan syarikat Lay Hong Berhad bagi memastikan telur keluaran ladang syarikat adalah bebas SE.

"Jabatan Perkhidmatan Veterinar tidak membenarkan kemasukan semula telur ditarik balik CES 008 ke Malaysia.

"Penggantungan CES 008 ke Singapura tidak menjejaskan pengeksportan lain-lain ladang ke Singapura dan bekalan untuk pasaran tempatan," katanya.

Jabatan Perkhidmatan Veterinar juga memaklumkan melalui Program Survelan Penyakit Haiwan Kebangsaan, Salmonellosis antara penyakit yang dipantau di semua ladang ayam di Malaysia.

Katanya, terdapat lebih daripada 2000 spesies Salmonella manakala SE yang dikesan pada telur boleh menyebabkan penyakit keracunan makanan jika produk itu dimakan mentah atau separa masak.

Pun begitu, katanya, SE boleh dimusnahkan dengan cara memasak dengan sempurna.

"Gejala pada manusia akibat jangkitan SE antaranya sakit perut, cirit-birit, loya,

muntah dan demam," katanya.

Media semalam melaporkan, Singapura mengarahkan empat pengimport untuk menarik balik dari pasaran telur yang dihasilkan di Lay Hong Berhad Layer Farm Jeram di Malaysia, sebagai langkah berjaga-jaga.

Agensi Makanan Singapura (SFA) menyatakan, arahan itu dibuat berikutan penemuan SE pada produk terbabit yang boleh menyebabkan penyakit disebabkan makanan, jika makanan itu dimakan secara mentah atau separuh masak.

Berita berkaitan:

  • Selangor teliti tindakan Singapura
  • KPDNHEP jalankan penilaian kesan
  • KPDNHEP buat penilaian kesan bekalan telur
  • Singapura tarik balik telur dari Malaysia
  • Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 14 Mac 2021 @ 5:37 PM