GAMBAR hiasan
GAMBAR hiasan
BERNAMA

Putrajaya: Kira-kira 59 majikan 'zalim' bakal didakwa di mahkamah mengikut Akta Standard Minimum Perumahan, Penginapan dan Kemudahan Pekerja 1990 (Akta 446) Pindaan 2019 susulan 124 kertas siasatan yang dibuka.

Menteri Sumber Manusia Datuk Seri M. Saravanan berkata, antara pertuduhan yang bakal dikenakan adalah mengikut Seksyen 24D, Seksyen 24H, Seksyen 24J, dan Peraturan 3 dan Peraturan 4 di bawah Peraturan-peraturan Standard Minimum Perumahan, Penginapan dan Kemudahan Pekerja (Penginapan dan Penginapan Berpusat) 2020.

"Pertuduhan bagi Seksyen 24D adalah ketiadaan perakuan penginapan dan Seksyen 24J pula gagal menyediakan penginapan berasingan untuk pekerja berlainan jantina.

"Siasatan kes membabitkan pelbagai sektor antaranya pembuatan sarung tangan getah dan perabot, pembinaan, peruncitan dan perkilangan di Semenanjung.

"Semua majikan dan penyedia penginapan berpusat yang masih belum lagi membuat pemohonan Perakuan Penginapan diingatkan segera berbuat demikian bagi mengelakkan tindakan tegas di bawah Akta 446," katanya.

Sebelum dipinda pada 2019, Akta 446 hanya mencakupi aspek perumahan dan penginapan pekerja sektor perladangan yang melebihi 20 hektar serta perlombongan, namun kini undang-undang tersebut dikuatkuasakan ke atas semua sektor selain memperuntukkan peraturan baharu berhubung standard perumahan dan kemudahan pekerja.

Sepanjang penguatkuasaan Akta 446 di bawah pindaan Ordinan Darurat pula, Saravanan berkata sebanyak 3,256 majikan diperiksa membabitkan 17,576 penginapan bagi tempoh 26 Februari hingga 11 Mac lalu, dengan lapan kertas siasatan telah diberi izin kompaun.

Ordinan Darurat yang berkuat kuasa sejak 26 Februari lalu antara lain mengeluarkan arahan kepada majikan dan penyedia penginapan berpusat untuk menyediakan penginapan sementara kepada pekerja bagi mana-mana penginapan yang difikirkan tidak sesuai dan tidak selamat untuk didiami manusia.

Majikan dan penyedia penginapan berpusat yang gagal mematuhi arahan tersebut boleh didenda sehingga RM200,000 atau penjara tidak melebihi tiga tahun atau kedua-duanya sekali jika disabitkan kesalahan.

"Kami masih memberi ruang kepada syarikat untuk memperbaiki kelemahan mereka dengan mengambil kira kelembapan ekonomi akibat COVID-19. Apabila kami telah menyediakan kertas siasatan, kami juga meneliti dan memperhalusi kedudukan kewangan syarikat terbabit," kata Saravanan.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 15 Mac 2021 @ 6:20 PM