DATUK Seri M. Saravanan. FOTO Rohanis Shukri
DATUK Seri M. Saravanan. FOTO Rohanis Shukri
BERNAMA

Putrajaya: Penguatkuasaan berterusan bagi Akta Standard Minimum Perumahan, Penginapan dan Kemudahan Pekerja 1990 (Akta 446) penting dalam memastikan usaha negara membanteras elemen buruh paksa dan pemerdagangan orang dalam industri perburuhan.

Menteri Sumber Manusia Datuk Seri M. Saravanan berkata, penguatkuasaan Akta 446 yang bermula pada 1 September lalu menetapkan keperluan kepada majikan dan penyedia penginapan berpusat untuk mendapatkan Perakuan Penginapan daripada Jabatan Tenaga Kerja Semenanjung Malaysia (JTKSM).

Sejak itu, pihak JTKSM Ibu Pejabat dan Jabatan Tenaga Kerja (JTK) negeri juga sudah melaksanakan penguatkuasaan menyeluruh bagi memastikan majikan dan penyedia penginapan berpusat patuh kepada Akta 446.

"Pelaksanaan penguatkuasaan yang berterusan sejak 1 September sehingga 1 November lalu merekodkan permohonan perakuan penginapan yang memberangsangkan daripada pihak majikan dan penyedia penginapan berpusat.

"Permohonan perakuan penginapan yang dicatatkan dalam tempoh dua bulan ini adalah sebanyak 2,668 permohonan merangkumi 472 majikan dan 51 penyedia penginapan berpusat. "Sektor pembuatan adalah penyumbang tertinggi iaitu sebanyak 1,562 permohonan," katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Saravanan berkata, sepanjang September hingga akhir Oktober lepas, Kementerian Sumber Manusia (KSM) melalui JTKSM dan JTK negeri sudah menjalankan sebanyak 1,322 aktiviti penguatkuasaan dan pemeriksaan di seluruh Semenanjung Malaysia yang merangkumi 1,305 majikan dan 17 penyedia penginapan berpusat.

Beliau berkata, pematuhan terhadap Akta 446 amat penting dan penguatkuasaan yang berterusan adalah perlu kerana menerusi pematuhan secara komprehensif terhadap Akta 446 akan membuktikan Malaysia patuh terhadap piawaian yang digariskan oleh pihak Pertubuhan Buruh Antarabangsa (ILO) dalam aspek membanteras elemen buruh paksa.

"Perkara ini amat signifikan kepada negara memandangkan penyediaan perumahan, penginapan dan kemudahan pekerja adalah antara elemen penting dalam kriteria buruh paksa. "Aspek penginapan dan kediaman pekerja ini mendapat teguran daripada Jabatan Kastam dan Perlindungan Sempadan Amerika Syarikat khususnya membabitkan sektor pembuatan sarung tangan getah dan industri kelapa sawit negara.

"Selain itu, pematuhan dan pelaksanaan akta ini juga secara tidak langsung akan membantu dalam menangani isu pemerdagangan orang dan penyeludupan migran di bawah Akta Antipemerdagangan Orang dan Antipenyeludupan Migran (ATIPSOM) 2007," katanya.

Saravanan berkata, aktiviti penguatkuasaan yang dijalankan dengan kerjasama agensi berkaitan turut dilakukan secara berterusan dan ini jelas menunjukkan KSM tidak akan berkompromi dalam isu buruh paksa mahupun pemerdagangan orang.

Katanya, sebanyak 90 aktiviti pemeriksaan di bawah Operasi Bersepadu ATIPSOM bagi tahun ini membabitkan pelbagai agensi termasuk Majlis Antipemerdagangan Orang dan Antipenyeludupan Migran (MAPO), Polis Diraja Malaysia (PDRM), Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM), Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI), Lembaga Pembangunan Industri Pembinaan (CIDB) dan Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) sudah dilaksanakan di seluruh negara.

Selain itu, Saravanan berkata, bagi memastikan keberkesanan penguatkuasaan, KSM turut mengambil inisiatif membentuk Jawatankuasa Teknikal Task Force dengan objektif utamanya menjurus kepada pematuhan perundangan dan dasar perburuhan negara dalam lima sektor yang dikaitkan dengan buruh paksa dan pemerdagangan orang iaitu sektor getah, perladangan, perkhidmatan (restoran dan pembersihan), elektrik dan elektronik serta perabot.

KSM juga menyeru supaya majikan dan penyedia penginapan berpusat yang belum membuat permohonan Perakuan Penginapan segera berbuat demikian secara dalam talian melalui pautan http://akta446.mohr.gov.my.

Sebarang pertanyaan atau nasihat berkaitan Akta 446 juga akta-akta lain dalam bidang kuasa Jabatan boleh menghubungi KSM dan JTKSM di talian 03-8886 5192 / 03-8886 2409 / 03- 8886 2352 / 03-8888 9111 atau mana-mana pejabat tenaga kerja berhampiran.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 15 November 2020 @ 5:18 PM