KAPAL kargo yang dipercayai membuang sisa minyak di perairan Selangor ditahan APMM. FOTO Ihsan APMM
KAPAL kargo yang dipercayai membuang sisa minyak di perairan Selangor ditahan APMM. FOTO Ihsan APMM
Noor Hidayah Tanzizi


Lumut: Sebuah kapal kargo yang dipercayai membuang sisa minyak di perairan Selangor ditahan di kedudukan 21.7 batu nautika timur laut Pulau Jarak, di sini, 12 tengah hari semalam.

Pesawat Bombardier CL-415 MP mengesan aktiviti kapal itu yang dilihat mencurigakan sebelum menyalurkannya kepada Agensi Penguatkuasaan Maritim (APMM) Selangor kerana lokasi kejadian disyaki di perairan negeri itu.

Kapal berkenaan dalam perjalanan menghala ke utara dan memasuki perairan Perak sebelum maklumat itu disalurkan kepada APMM Perak.

Pengarah APMM Perak Kepten Maritim Sharizan Raman berkata, susulan maklumat itu, pihaknya mengarahkan Kapal Maritim (KM) Gagah yang sedang melakukan rondaan di perairan negeri ke lokasi untuk tindakan lanjut.

Menurutnya, pemeriksaan mendapati kapal yang berdaftar di Haiphong, Vietnam dalam perjalanan ke Eropah dan dikendalikan 22 kru warga Vietnam berusia antara 30 hingga 65 tahun.

"Kapal itu disyaki melakukan kesalahan mengikut Akta Ordinan Perkapalan Saudagar 1952 (MSO) dan mengikut Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974 iaitu membuang sisa minyak ke dalam laut.

"Kapal bersama semua kru ditahan di South East Point (SEP) perairan Pulau Pangkor bagi tujuan pengambilan sampel minyak oleh Jabatan Alam Sekitar (Jas) Perak untuk tindakan lanjut," katanya dalam kenyataan media hari ini.

Shahrizan berkata, semua kru itu mempunyai dokumen perjalanan diri yang sah.

Katanya, komuniti maritim yang mempunyai sebarang maklumat berkaitan dengan insiden ini diminta menghubungi Pusat Operasi Maritim Negeri Perak di talian 05-6838737.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 6 Mac 2021 @ 9:10 PM