APMM menahan sebuah kapal tangki kerana berlabuh tanpa kebenaran dalam OP Pintas di kedudukan 4.4 batu nautika selatan Pulau Buluh, Lumut, kelmarin. FOTO ihsan APMM
APMM menahan sebuah kapal tangki kerana berlabuh tanpa kebenaran dalam OP Pintas di kedudukan 4.4 batu nautika selatan Pulau Buluh, Lumut, kelmarin. FOTO ihsan APMM
Noor Hidayah Tanzizi


Lumut: Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) menahan sebuah kapal tangki kerana berlabuh tanpa kebenaran di kedudukan 4.4 batu nautika selatan Pulau Buluh, di sini, kelmarin.

Pengarah APMM Perak, Kepten Maritim Shahrizan Raman berkata, penahanan pada 1.15 tengah hari itu susulan anggota Bot Penggalang 13 mengesan kehadiran kapal berkenaan di sekitar perairan berkenaan.

Menurutnya, kapal berdaftar di Sierra Leone, Afrika Barat membawa muatan minyak itu dalam perjalanan dari Kuala Linggi, Melaka ke Indonesia.

"Kapal berkenaan ditahan mengikut Akta Ordinan Perkapalan Saudagar (MSO) kerana disyaki melakukan kesalahan berlabuh tanpa kebenaran daripada Pengarah Jabatan Laut.

"Kapal bersama 23 kru warga asing berusia antara 30 hingga 65 tahun itu ditahan di South East Point (SEP) Pulau Pangkor untuk siasatan lanjut," katanya dalam kenyataan media, hari ini.

Katanya, APMM sentiasa bersiap siaga dalam menguatkuasakan undang-undang bagi membendung kegiatan jenayah maritim.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 25 January 2021 @ 6:59 PM