Muhaamad Hafis Nawawi


Kuala Lumpur: Bukan sahaja kembar, malah mereka turut berkongsi 'hobi' sama iaitu menghisap dadah sejak sembilan tahun lalu akibat pengaruh daripada abang.

Malah lebih malang, seorang lagi adik lelaki mereka berusia 21 tahun turut mula terjebak dalam penyalahgunaan dadah sejak sebulan lalu.

Perbuatan mereka terbongkar selepas ditahan Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK) Daerah Cheras di rumah mereka di sebuah projek perumahan rakyat (PPR) di sini, malam tadi.

Dalam serbuan itu, enam lelaki berusia 20 hingga 38 tahun, termasuk tiga adik beradik terbabit ditahan.

Malah, salah seorang kembar yang sedang menghisap dadah syabu di tangga kediamannya bersama rakannya turut bertempiaran lari, namun gagal sebelum ditahan.

Ada antara mereka yang lari ke rumah rakan dan berpura-pura sedang tidur, namun gagal selepas taktik itu berjaya dihidu pihak AADK.

Lelaki berusia 26 tahun itu berkata, dia dan adiknya kembarnya mula terjebak dengan dadah sejak berusia 17 tahun.

Menurutnya, ketika itu dia terpengaruh dengan abang mereka yang turut menghisap dadah menyebabkan dirinya ketagih sehingga kini.

TIGA adik beradik yang ditahan dalam operasi cegah dadah oleh  AADK daerah Cheras di PPR Taman Muhibbah, Cheras.  FOTO KHAIRUL AZHAR AHMAD.
TIGA adik beradik yang ditahan dalam operasi cegah dadah oleh AADK daerah Cheras di PPR Taman Muhibbah, Cheras. FOTO KHAIRUL AZHAR AHMAD.

"Saya sempat belajar di pusat tahfiz sebelum ini, namun tidak lama apabila melarikan diri dari pusat itu," katanya kepada Harian Metro ketika ditemui pada operasi dijalankan AADK Daerah Cheras itu.

Operasi diadakan susulan aduan orang ramai.

Dia turut memberitahu abang mereka kini berada di Penjara Kajang berkaitan kes dadah.

"Saya kebiasaannya akan menghisap dadah bersama rakan-rakan dan bekalan diperoleh daripada mereka," katanya.

Difahamkan rumah mereka turut menjadi tempat rakan-rakannya melepak sambil menghisap dadah.

Sebagai balasan adik-beradik itu menerima bekalan percuma dadah syabu.

Sementara itu, Ketua Pegawai AADK Daerah Cheras, Mohd Ridhwan Mohd Rozmi berkata, seramai dua pegawai dan lapan anggota terbabit dalam operasi bermula 10 malam itu.

"Operasi ini dijalankan susulan aduan daripada orang awam berkaitan penyalahgunaan dadah di kawasan mereka.

"Cuma ingin ditekankan kita bukan ingin menghukum tetapi membantu mereka ini pulih daripada penyalahgunaan dadah," katanya.

Mohd Ridhwan berkata, majoriti mereka terdiri daripada golongan belia di mana mereka perlu diselamatkan dan dipulihkan.

"Siasatan dijalankan mengikut Seksyen 3(1) Akta Penagih Dadah (Rawatan dan Pemulihan) 1983," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 11 Mac 2021 @ 10:00 AM