Zatul Iffah Zolkiply


PEMANDU dan kelindan lori yang ditahan bersama 50,000 pil kuda bernilai RM750,000 berhampiran Plaza Tol Telemong, Hulu Terengganu 25 April lalu, dihadapkan ke Mahkamah Majistret Marang hari ini atas pertuduhan mengedar dadah.

Dua tertuduh, Mohd Hishammuddin Mat Asid, 35 dan Mohamad Amiro Azman, 30, mengangguk faham ketika pertuduhan mengikut Seksyen 39B (1) (a) Akta Dadah Berbahaya 1952 dibacakan di hadapan Majistret Engku Nurul Ain Engku Muda.

Mengikut pertuduhan, mereka didakwa mengedar dadah seberat 3457.05 gram (berat kasar) di tepi jalan Lebuhraya Pantai Timur 2 (LPT 2) Jalan Plaza Tol Kuala Telemong Bukit Payong, Telemong, Hulu Terengganu, pada 10 malam 25 April lalu.

Bagi kesalahan itu, kedua-dua tertuduh berdepan hukuman mati mandatori atau penjara seumur hidup dan dikenakan tidak kurang 15 sebatan, jika sabit kesalahan.

Sementara itu, di mahkamah sama, Mohd Hishammuddin turut berdepan satu lagi pertuduhan mengedar dadah jenis methamphetamine seberat 1920.91 gram (berat kasar) di dalam sebuah lori di hadapan Pejabat Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik, Ibu Pejabat Polis Daerah Hulu Terengganu, pada 12.10 tengah malam, 26 April lalu.

PENAGIH yang dicekup dalam Op Tapis Khas dalam ladang kelapa sawit Kampung Batu Lima dan ECPI, di sini semalam. FOTO Izad Thaqif Hassan.
PENAGIH yang dicekup dalam Op Tapis Khas dalam ladang kelapa sawit Kampung Batu Lima dan ECPI, di sini semalam. FOTO Izad Thaqif Hassan.

Bagaimanapun, tiada sebarang pengakuan direkodkan sebelum mahkamah menetapkan 5 Julai depan sebagai tarikh sebutan semula kes untuk serahan dokumen dan lantikan peguam.

Mahkamah juga tidak menawarkan sebarang jaminan terhadap tertuduh.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, M Lishantini manakala dua tertuduh tidak diwakili peguam.

Portal NSTP sebelum ini melaporkan dua lelaki gelap mata dan sanggup mengambil risiko dengan menjadi penghantar dadah selepas tertarik dengan upah ditawar antara RM1,000 hingga RM8,000.

Bagaimanapun, sikap tamak mereka membawa padah selepas ditahan polis bersama 50,000 pil kuda dianggarkan bernilai RM750,000 ketika menunggu pengedar mengambil bekalan berkenaan.

Berita berkaitan

Upah lumayan angkut dadah RM750,000 [METROTV]

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 6 Mei 2020 @ 3:37 PM
MOHD Hishammuddin dan Mohamad Amiro dihadapkan ke Mahkamah Majistret Marang atas pertuduhan mengedar dadah. FOTO Zatul Iffah Zolkiply.
MOHD Hishammuddin dan Mohamad Amiro dihadapkan ke Mahkamah Majistret Marang atas pertuduhan mengedar dadah. FOTO Zatul Iffah Zolkiply.