KAPAL layar Puteri Mahsuri hanyut sejauh 60 batu nautika menghala ke sempadan Malaysia-Thailand selepas rantai sauh terputus di perairan Langkawi. FOTO
KAPAL layar Puteri Mahsuri hanyut sejauh 60 batu nautika menghala ke sempadan Malaysia-Thailand selepas rantai sauh terputus di perairan Langkawi. FOTO
Hamzah Osman


Langkawi: Sebuah kapal layar yang berlabuh di perairan pulau ini dihanyutkan ombak kuat sejauh 60 batu nautika di sini, pagi tadi.

Dalam kejadian 7.45 pagi itu, kapal layar Puteri Mahsuri dinaiki empat individu warga Myanmar terputus rantai sauh sebelum hanyut ke arah sempadan Malaysia-Thailand.

Pengarah Maritim Negeri Kedah dan Perlis, Laksamana Pertama Maritim Romli Mustafa berkata, pihaknya menerima maklumat berkaitan kejadian pada jam 8 pagi.

"Terdahulu, Sub-Pusat Menyelamat Maritim (MRSC) Langkawi menerima maklumat sebuah kapal layar hanyut akibat terputus rantai sauh daripada Pusat Operasi Markas Wilayah Laut 3 Tentera Laut Diraja Malaysia (MAWILA 3).

"Sejurus itu, operasi mencari dan menyelamat (SAR) diaktifkan jam 10 pagi bertujuan mengesan dan memberi bantuan," katanya dalam kenyataan dikeluarkan di sini, petang ini.

Romli berkata, kapal layar Puteri Mahsuri kemudian dapat dikesan oleh Pusat Operasi MAWILA 3 selepas anak kapalnya mengaktifkan sistem isyarat kecemasan.

"KD Lekiu dalam perintah operasi turut berjaya mengesan kapal layar terbabit, tiba di lokasi untuk memberi bantuan awal kira-kira jam 12 tengah hari.

"Siasatan awal mendapati, kapal layar terbabit bersama empat anak kapal telah hanyut sejauh lebih kurang 60 batu nautika ke arah sempadan Malaysia-Thailand," katanya.

Beliau berkata, Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) mengingatkan semua pihak yang melakukan aktiviti di laut agar mengambil langkah-langkah keselamatan termasuk memakai jaket keselamatan, merujuk ramalan kaji cuaca, memastikan bot dalam keadaan baik dan membawa Suar Pencari Peribadi (PLB).

"Sebarang aduan dan maklumat mengenai kegiatan jenayah atau kecemasan di laut, boleh hubungi talian kecemasan 24 jam MERS 999 atau Pusat Operasi Ibu Pejabat Maritim Negeri Kedah dan Perlis di talian 049662750," katanya.

Keterangan gambar:

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 21 Disember 2022 @ 5:27 PM