ABDUL Hamid. FOTO Bernama.
ABDUL Hamid. FOTO Bernama.
Nurul Hidayah Bahaudin


Kuala Lumpur: Tindakan menaikkan kadar kompaun maksimum kepada RM10,000 terhadap individu yang melanggar prosedur operasi standard (SOP) akan meningkatkan aspek pematuhan orang awam.

Ketua Polis Negara Tan Sri Abdul Hamid Bador berkata, individu yang berulang kali melanggar SOP berkenaan perlu mengambil serius terhadap isu kadar kompaun baharu ini.

"Penganjur himpunan atau perjumpaan sosial secara haram dan pemilik premis hiburan yang secara terbuka melanggar SOP juga perlu takut dengan kadar maksimum kompaun itu.

"Pada masa sama, peningkatan kadar kompaun maksimum sehingga RM50,000 terhadap syarikat adalah langkah pencegahan dan kawalan Covid-19 yang wajar serta tepat pada masanya," katanya.

Abdul Hamid berkata, pihaknya sentiasa tegas dalam menguatkuasakan undang-undang terutamanya membabitkan kesalahan ingkar SOP.

"Tempoh beri amaran dan nasihat untuk mereka yang melanggar SOP sudah berakhir.

"Tindakan lebih tegas akan dilaksana bagi menunjukkan pihak polis serius dalam usaha membendung penularan jangkitan wabak berkenaan.

"Orang awam juga perlu mainkan peranan dengan patuh terhadap SOP sedia ada," katanya.

Terdahulu, media melaporkan individu yang melanggar peraturan atau SOP ditetapkan bagi pencegahan Covid-19 akan berdepan kompaun sehingga maksimum RM10,000.

Bagi syarikat atau pertubuhan yang melakukan kesalahan sama pula boleh dikenakan kompaun sehingga maksimum RM50,000.

Ketika ini, individu dan syarikat yang melakukan kesalahan itu hanya dikenakan kompaun maksimum RM1,000.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 26 Februari 2021 @ 6:06 PM