FOTO HIASAN.
FOTO HIASAN.
BERNAMA

Kuala Lumpur: Rang Undang-Undang Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit (Pindaan) 2021 antaranya bagi menaikkan kadar maksimum kompaun terhadap individu yang melakukan kesalahan di bawah rang undang-undang itu, dibentang bagi bacaan kali pertama di Dewan Rakyat hari ini.

Mengikut rang undang-undang itu, individu yang melakukan kesalahan boleh dikompaun sehingga RM10,000 berbanding RM1,000 ketika ini.

Pindaan terhadap Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988 (Akta 342) itu juga mencadangkan pertubuhan perbadanan yang melakukan kesalahan di bawah peraturan ditetapkan boleh dikompaun sehingga maksimum RM1 juta.

Selain itu, rang undang-undang tersebut turut memasukkan seksyen baharu mengikut Seksyen 15A iaitu pemberian kuasa kepada pegawai mengeluarkan perintah kepada mana-mana individu yang dijangkiti penyakit atau percaya dijangkiti atau mana-mana kontak rapat untuk memakai atau menggunakan peranti pengesanan.

Timbalan Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr Noor Azmi Ghazali yang membentangkan rang undang-undang itu berkata, bacaan kali kedua akan dibuat pada sidang kali ini.

Sebelum ini, di bawah Ordinan Darurat (Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit) (Pindaan) 2021, individu yang melanggar prosedur operasi standard (SOP) ditetapkan boleh dikompaun sehingga RM10,000, manakala syarikat atau pertubuhan yang melakukan kesalahan sama boleh dikompaun sehingga maksimum RM50,000.

Bagaimanapun, pelaksanaannya terbatal selepas Dewan Rakyat meluluskan ketetapan menurut Fasal (3) Perkara 150 Perlembagaan Persekutuan untuk mengungkaikan Ordinan-ordinan Darurat pada 25 Oktober lalu.

Sementara itu, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-Undang) Datuk Seri Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar membentangkan Rang Undang-Undang Langkah-Langkah Sementara bagi Mengurangkan Kesan Penyakit Koronavirus 2019 (Covid-19) (Pindaan) 2021 bagi bacaan kali pertama.

Rang undang-undang berkenaan antaranya bagi menyelesaikan secara perantaraan pertikaian berkenaan ketidakupayaan mana-mana pihak untuk melaksanakan obligasi kontraktual yang timbul daripada apa-apa kontrak disebabkan langkah-langkah ditetapkan, dibuat atau diambil di bawah Akta 342.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 14 Disember 2021 @ 5:36 PM