Wan Rosdy Wan Ismail (dua kiri) ketika menerima suntikan vaksin Covid-19 pada Program Imunisasi Covid-19, Negeri Pahang di Dewan Jubli Perak Sultan Haji Ahmad Shah. FOTO FARIZUL HAFIZ AWANG
Wan Rosdy Wan Ismail (dua kiri) ketika menerima suntikan vaksin Covid-19 pada Program Imunisasi Covid-19, Negeri Pahang di Dewan Jubli Perak Sultan Haji Ahmad Shah. FOTO FARIZUL HAFIZ AWANG
Asrol Awang


Kuantan: Menteri Besar, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail individu pertama di Pahang hari ini menerima suntikan vaksin Covid-19 Pfizer-BioNTech pada Program Imunisasi Covid-19 Pahang di Dewan Jubli Perak Sultan Ahmad Shah di sini.

Wan Rosdy antara 115 individu termasuk Setiausaha Kerajaan Pahang, Datuk Dr Sallehuddin Ishak dan petugas barisan hadapan yang menerima suntikan dos pertama vaksin itu.

"Alhamdulilah, seikhlasnya saya tidak rasa apa-apa atau kesan alahan selepas menerima suntikan vaksin. Jangan rasa bimbang kerana saya sudah menerima suntikan vaksin dan dipantau selama 30 minit.

"Saya menyeru rakyat Pahang supaya menerima suntikan ini kerana diberikan secara percuma oleh kerajaan dan jika tidak mengambilnya, ia sedikit sebanyak akan mengganggu kehidupan seharian," katanya pada sidang media selepas menerima suntikan pada Program Imunisasi Covid-19 Pahang.

Mengenai sasaran program itu membabitkan masyarakat Orang Asli di Pahang, Wan Rosdy berkata, kerajaan negeri melalui Jabatan Kemajuan Orang Asli (Jakoa), Pejabat Kesihatan Daerah (PKD) akan memastikan masyarakat itu menerima vaksin berkenaan.

"Saya fikir tiada masalah kerana pemberian vaksin ini untuk kebaikan mereka dan dijangka akan dilaksanakan pada Ogos depan," katanya.

Kelmarin, Pahang menerima bekalan 23,400 dos vaksin Covid-19 untuk pelaksanaan fasa pertama Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 26 Februari 2021 @ 6:04 PM