Khairy pada Mesyuarat Badan Bertindak Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan peringkat Pahang. FOTO BERNAMA
Khairy pada Mesyuarat Badan Bertindak Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan peringkat Pahang. FOTO BERNAMA
Asrol Awang

Kuantan: Kerajaan akan memastikan proses suntikan vaksin di negeri yang berdepan musim tengkujuh, khususnya di Pantai Timur diselesaikan pada hujung Oktober ini.

Menteri Penyelaras Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (PICK) Khairy Jamaluddin berkata, langkah itu dilaksanakan untuk mengelak daripada timbul masalah sekiranya berlaku banjir.

Bagaimanapun, menurutnya, sekiranya proses pengagihan vaksin tidak dapat diselesai seperti yang dijadualkan, pihaknya akan meneliti strategi lain dari segi pengagihan pada musim tengkujuh itu.

"Kerajaan akan menyusun semula jadual pengagihan vaksin Covid-19 bagi membolehkan negeri yang terkesan dengan musim tengkujuh akan diberikan keutamaan.

"Kita harapkan proses pengagihan bekalan dapat diselesaikan seperti yang dijadualkan," katanya.

Beliau berkata demikian ketika sidang media selepas mempengerusikan Mesyuarat Bertindak PICK Peringkat Pahang bersama Menteri Besar Pahang Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail di sini, hari ini.

Mengulas pengagihan bekalan vaksin di Pahang, beliau memberi jaminan kerajaan negeri bakal menerima 440,000 dos vaksin Covid-19 pada bulan depan berbanding 180,000 dos diterima bulan ini.

"Kita juga yakin kerajaan negeri mampu meningkatkan kadar suntikan harian daripada purata 5,000 suntikan sehari kepada 30,000 suntikan sehari, sebaik sahaja bekalan vaksin diterima kerajaan Persekutuan," katanya.

  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 18 Jun 2021 @ 4:40 PM