Warga emas, Atan Manap 76, ketika menerima suntikan dos pertama vaksin COVID-19. FOTO /FARIZUL HAFIZ AWANG
Warga emas, Atan Manap 76, ketika menerima suntikan dos pertama vaksin COVID-19. FOTO /FARIZUL HAFIZ AWANG
Asrol Awang


Kuantan: Seramai 1,820 warga emas berumur 60 tahun ke atas di Pahang menerima suntikan vaksin dos pertama menerusi Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (PICK), hari ini.

Program itu membabitkan lima Pusat Pemberian Vaksin (PPV) di Pahang iaitu Kuantan, Rompin, Lipis, Bentong dan Temerloh.

Warga emas, Hinah Mohd hashim, 79, berkata dia tidak berasa bimbang sebaik dimaklumkan akan menerima suntikan vaksin bagi dos pertama.

"Walaupun menghidap beberapa penyakit termasuk darah tinggi, tiada rasa takut dan saya turut mendapat sokongan daripada anak.

"Oleh itu, saya meminta golongan warga emas yang belum mendaftar sebagai penerima perlu berbuat demikian," kata pesara Telekom Malaysia Berhad (TM) itu.

Sementara itu, Sainap Sirat, 82, berkata dia tidak mengalami alahan sebaik menerima suntikan berkenaan.

"Setakat ini, mak cik baik sahaja dan mengharapkan semua berjalan lancar termasuk apabila menerima dos kedua nanti," katanya.

Sementara itu, Menteri Besar, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail yang meninjau PPV Wisma Belia, di sini gembira kerana program itu berjalan lancar.

"Saya difahamkan warga emas yang menerima suntikan dalam keadaan baik dan mengharapkan proses itu berjalan lancar," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 19 April 2021 @ 8:26 PM