Menteri Besar Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail menerima suntikan dos kedua vaksin di Kuantan. FOTO  Asrol Awang
Menteri Besar Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail menerima suntikan dos kedua vaksin di Kuantan. FOTO Asrol Awang
Asrol Awang


Kuantan: Pahang memperkenalkan Sistem Imunisasi Covid-19 Pahang (SICP) untuk memudahkan rakyat negeri itu mendaftar bagi pengambilan suntikan vaksin.

Menteri Besar Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail berkata, setakat ini lebih ramai rakyat Pahang mendaftar SICP berbanding melalui aplikasi MySejahtera.

Katanya, sistem itu adalah nilai tambah kepada MySejahtera yang lebih sesuai dan memudahkan pendaftaran untuk rakyat Pahang.

"Sebenarnya, aplikasi MySejahtera sudah okay tetapi dengan adanya SICP ini, ia lebih memudah dan menyenangkan lagi rakyat Pahang untuk mendaftar bagi pengambilan vaksin berkenaan.

"Sistem ini lebih berkesan di Pahang kerana negeri luas dan pada masa sama, untuk memastikan lebih ramai rakyat Pahang menerima suntikan vaksin itu," katanya.

Beliau berkata kepada media selepas Program Imunisasi Covid-19 (dos kedua) peringkat Pahang dan pelancaran SICP di Dewan Jubli Perak Sultan Ahmad Shah, di sini, hari ini.

Dalam perkembangan berkaitan, Wan Rosdy berkata, hanya tiga daripada 42 Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Pahang masih belum mendapatkan suntikan dos pertama vaksin.

Katanya, ketiga-tiga Adun itu bukan sengaja tidak mahu mengambil suntikan vaksin itu mungkin tetapi atas sebab tertentu atau dinasihat menangguh buat sementara.

"Kerajaan negeri memang tahu dan mereka dikatakan ada masalah kesihatan dan alahan. Bagaimanapun, selepas ini doktor akan mendapatkan maklumat lanjut," katanya.

  • Lagi berita berkaitan Perintah Kawalan Pergerakan
  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 19 Mac 2021 @ 8:04 PM