SEBAHAGIAN 24,728 kilogram keluaran pertanian yang ditahan MAQIS Melaka. FOTO IHSAN MAQIS
SEBAHAGIAN 24,728 kilogram keluaran pertanian yang ditahan MAQIS Melaka. FOTO IHSAN MAQIS
Nazri Abu Bakar


Melaka: Jabatan Perkhidmatan Kuarantin dan Pemeriksaan Malaysia (Maqis) Melaka/Negeri Sembilan menahan 24,728 kilogram keluaran pertanian dianggarkan bernilai RM35,304 atas kesalahan tidak mematuhi syarat import di Kompleks LKIM Kuala Linggi, di sini, Selasa lalu.

Pengarah Maqis Melaka/Negeri Sembilan, Nora Dinah Abdul Rahman berkata, hasil pemeriksaan rutin dilakukan pihaknya mendapati rampasan itu membabitkan pelbagai jenis sayur-sayuran termasuk petai, keledek, keladi, kailan dan limau limau nipis dibawa masuk dari Indonesia.

"Kes disiasat mengikut Seksyen 15(1), Akta Perkhidmatan Kuarantin dan Pemeriksaan Malaysia 2011 [Akta 728] kerana tidak mematuhi syarat import Maqis.

"Jika sabit kesalahan, boleh didenda tidak melebihi RM50,000 atau dipenjara selama tempoh tidak melebihi dua tahun atau kedua-duanya.

"Sehubungan itu, Maqis sentiasa memantau dan memeriksa setiap keluaran pertanian di pintu masuk negara untuk memastikan keluaran pertanian diimport dan dieksport mematuhi syarat dan peraturan ditetapkan," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 25 Februari 2021 @ 3:53 PM