Zuhainy Zulkiffli

Georgetown: Polis menumpaskan sindiket pengedaran dadah antarabangsa apabila merampas dadah jenis syabu bernilai RM5.2 juta berikutan penahanan seorang lelaki di Batu Ferringghi, di sini.

Dalam operasi itu, suspek berusia 54 tahun ditahan sepasukan anggota Unit Jenayah Berat (D9) Jabatan Siasatan Jenayah dan Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik Pulau Pinang pada 6.30 petang Jumaat lalu.

Ketua Polis Pulau Pinang Datuk Sahabudin Abd Manan berkata, polis mengejar kereta Mercedes Benz dipandu suspek di Jalan Batu Feringhi, di sini, yang cuba melarikan diri sebelum berjaya ditahan.

Katanya, pemeriksaan pada but belakang kereta terbabit menemukan sebanyak 15 kilogram (kg) hablur kristal dipercayai dadah jenis syabu, sepucuk pistol dengan kelopak berisi 14 butir peluru dan 39 peluru hidup dalam sebuah kotak hitam.

 Sahabudin Abd Manan.
Sahabudin Abd Manan.

"Susulan itu, polis menahan seorang rakan suspek iaitu lelaki warga Bangladesh berusia 35 tahun di sebuah rumah di Teluk Bahang, di sini.

"Rumah terbabit dipercayai dijadikan stor penyimpanan dadah jenis syabu seberat 129.7 kg," katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Pulau Pinang, di sini, hari ini.

Ujian saringan air kencing terhadap dua suspek itu didapati negatif dadah dan seorang daripadanya mempunyai tiga rekod jenayah berkait kes dadah.

Sahabudin berkata, jumlah keseluruhan dadah yang dirampas ialah 144.7 kg dianggarkan bernilai RM5.2 juta bagi pasaran negara jiran.

Katanya, dadah berkenaan dipercayai akan dibawa keluar menerusi laluan laut kira-kira 25 hingga 30 batu nautika di perairan Pulau Pinang sebelum melakukan pertukaran dari bot ke bot.

"Kita masih mengesan saki baki ahli sindiket dan akan bekerjasama dengan pihak berkuasa di Indonesia bagi membantu siasatan.

"Nilai keseluruhan rampasan dadah ialah RM5.7 juta termasuk sitaan lima kenderaan dan sebuah motosikal. Jika dadah ini berjaya dipasarkan, ia boleh digunakan seramai 723,500 penagih dadah, " katanya.

Katanya, kedua-dua suspek direman selama tujuh hari sehingga 19 Mac ini bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 8 Akta Senjata Api (Penalti Lebih Berat) 1971; Seksyen 8(a) Akta Senjata 1960 dan Seksyen 39b Akta Dadah Berbahaya 1952.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 15 Mac 2021 @ 2:22 PM