KONVOI kenderaan yang membawa kumpulan pertama vaksin Pfizer-BioNTech bergerak keluar dari kargo KLIA selepas selamat tiba hari ini. FOTO Luqman Hakim Zubir
KONVOI kenderaan yang membawa kumpulan pertama vaksin Pfizer-BioNTech bergerak keluar dari kargo KLIA selepas selamat tiba hari ini. FOTO Luqman Hakim Zubir
Noorazura Abdul Rahman


Alor Setar: Sebanyak 25,000 dos vaksin akan diterima Jabatan Kesihatan Negeri (JKN) Kedah daripada jumlah keseluruhan 312,390 dos vaksin pada Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan yang dijadualkan bermula pada Jumaat ini.

Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan Negeri Kedah, Datuk Dr Mohd Hayati Othman berkata, dos vaksin fasa pertama itu akan diutamakan kepada petugas barisan hadapan di negeri ini.

Katanya, selain petugas hospital antara yang akan menerima suntikan vaksin ialah anggota dan pegawai polis, tentera, Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) dan Jabatan Sukarelawan Malaysia (Rela).

"Kesemua dos vaksin berkenaan akan terlebih dulu disimpan di tiga hospital yang diwartakan sebagai pusat pengumpulan vaksin negeri.

"Ia kemudiannya akan diagihkan ke pusat kesihatan di seluruh Kedah selain beberapa dewan seperti Dewan LADA, Langkawi dan Dewan Wawasan, Kubang Pasu," katanya di sini, hari ini.

Dr Mohd Hayati berkata, pihaknya kini berada pada tahap akhir menjalankan proses susun atur senarai penerima vaksin dalam memastikan keadaan vaksin berada pada tahap terbaik untuk digunakan.

Katanya, pihak JKN bersedia 100 peratus untuk melakukan proses suntikan vaksin yang dijangka selepas 26 Mac depan.

"Semalam saya ada mesyuarat dengan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin, saya dimaklumkan tarikh untuk proses suntikan vaksin belum ditetapkan.

"Cuma dari segi logistik kita perlu susun betul-betul sebab vaksin tidak akan bertahan lama jika dikeluarkan dari tempat penyimpanan -80 darjah selsius. Ia hanya akan bertahan lima hari jika disimpan pada suhu 2 hingga 8 darjah selsius," katanya.

Pada Khamis lalu, Dr Mohd Hayati berkata, sebanyak tiga hospital di Kedah dipilih sebagai pusat penyimpanan dan pengumpulan vaksin sebelum diedarkan ke pusat kesihatan terpilih bagi proses penerimaan suntikan.

  • Lagi berita berkaitan Perintah Kawalan Pergerakan
  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 21 Februari 2021 @ 12:55 PM