AHMAD Rudin (kiri) bersama Pengerusi Persatuan Nelayan Kuala Kedah, Abdul Hamid Bahari (dua kiri) dan Pengurus Shun Long Enterprise (Malaysia) Sdn Bhd, Yang Ying Jun (kanan) menyusun ikan yang akan dimasukkan ke dalam bilik sejuk beku. FOTO Rahmad Othman
AHMAD Rudin (kiri) bersama Pengerusi Persatuan Nelayan Kuala Kedah, Abdul Hamid Bahari (dua kiri) dan Pengurus Shun Long Enterprise (Malaysia) Sdn Bhd, Yang Ying Jun (kanan) menyusun ikan yang akan dimasukkan ke dalam bilik sejuk beku. FOTO Rahmad Othman
Zuliaty Zulkiffli


Alor Setar: Persatuan Nelayan Kedah (NEKAD) akan mengeksport hasil tangkapan nelayan yang disimpan di pusat penyimpanan sejuk beku ke Vietnam dan China buat pertama kalinya pada akhir bulan ini bagi meningkatkan pendapatan nelayan tempatan.

Pengerusinya, Ahmad Rudin Hussin berkata, pusat penyimpanan yang baru beroperasi di kawasan Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM) Kedah di Kuala Kedah di sini, dapat menampung penyimpanan sebanyak 700 tan ikan dan hasil tangkapan laut dalam tempoh sebulan dan sebagai langkah permulaan, mereka sudah menyimpan ikan di negeri ini dan Perlis ketika berlaku lambakan ikan baru-baru ini.

Beliau berkata, syarikat pengeksport ikan dari China, Shun Long Enterprise (Malaysia) Sdn Bhd di Kuala Kedah di sini bersetuju untuk mengeksport ikan ke China berikutan republik itu menghadapi masalah akibat perubahan cuaca sekitar November depan.

"Semua ikan dan sumber laut termasuk obor-obor serta apa jua jenis siput yang ditangkap nelayan akan dibeli pihak kami untuk disimpan dalam pusat penyimpanan sejuk beku di sini sebelum dieksport ke negara yang menghadapi masalah bekalan ikan.

"Malah ia mampu bertahan selama dua tahun dalam bilik sejuk -38 darjah selsius tanpa diawet dan mereka akan menerima ikan segar sebaik tiba di negara terbabit," katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pada sidang media di Majlis Pelancaran Pusat Pengumpulan Ikan di Pelabuhan LKIM Kuala Kedah di sini, tengah hari tadi.

Ahmad Rudin berkata, pihaknya bersama Persatuan Nelayan Kawasan (PNK) Kuala Kedah dan LKIM sememangnya bertekad untuk membantu nelayan sejak 2012 lagi dan termakbul dengan pembukaan pusat berkenaan.

"Nelayan kini dapat menjual hasil tangkapan mereka di sini tanpa perlu bersusah payah untuk menjual di tempat lain.

"Bukan hanya hasil nelayan di Kedah dan Perlis malah kita akan membeli hasil tangkapan nelayan dari negeri lain termasuk Sabah dan Sarawak untuk dijadikan ikan sejuk beku sebelum dieksport," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 16 Oktober 2016 @ 7:37 PM