GAMBAR hiasan. FOTO arkib NSTP
GAMBAR hiasan. FOTO arkib NSTP
Noorazura Abdul Rahman


Alor Setar: Tiga hospital di Kedah dipilih sebagai pusat penyimpanan dan pengumpulan vaksin Covid-19 sebelum ia diagih ke pusat kesihatan terpilih bagi pelaksanaan proses suntikan.

Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan negeri, Datuk Dr Mohd Hayati Othman berkata, ia membabitkan Hospital Sultanah Bahiyah 2 (HSB2) Alor Setar, Hospital Sultan Abdul Halim (HSAH) Sungai Petani dan Hospital Sultanah Maliha (HSM) Langkawi.

"Pemilihan hospital ini dibuat selepas mengambil kira kemudahan dan keperluan logistik bagi memastikan vaksin sentiasa dalam keadaan baik.

"Vaksin ini perlu disimpan di tempat penyimpanan pada suhu -80 darjah celcius yang biasanya kita guna bagi menyimpan cecair nitrogen," katanya dihubungi hari ini.

Menurut beliau, jika vaksin ini didedahkan kepada suhu antara dua hingga lapan darjah celcius, ia hanya dapat bertahan antara dua ke lima hari sahaja.

"Jadi, apabila vaksin ini berada di luar, kita perlu pastikan vaksin terus diberi kepada penerima mengikut jadual ditetapkan, kita perlu susun betul-betul supaya vaksin tidak rosak," katanya.

Mengulas lanjut, Dr Mohd Hayati berkata, proses penyusunan dan penetapan individu yang akan menerima vaksin bagi setiap fasa yang ditetapkan kerajaan akan diputuskan Majlis Keselamatan Negara (MKN).

Isnin lalu, Dr Mohd Hayati mengumumkan lebih 2,000 petugas barisan hadapan Hospital Sultanah Bahiyah (HSB) Alor Setar akan menerima suntikan vaksin untuk fasa pertama di negeri ini.

Kesemua petugas itu boleh mendapatkan suntikan vaksin di mana-mana pusat kesihatan dan hospital di Kedah.

  • Lagi berita berkaitan Perintah Kawalan Pergerakan
  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 18 Februari 2021 @ 1:27 PM