GAMBAR hiasan.
GAMBAR hiasan.
Noorazura Abdul Rahman


Alor Setar: Seramai 1.76 juta penduduk Kedah dijangka menerima suntikan vaksin Covid-19 secara berperingkat mulai Ahad ini sehingga Februari 2022.

Pengarah Jabatan Kesihatan Negeri (JKN) Kedah, Dr Mohd Fikri Ujang berkata, jumlah itu meliputi jangkaan vaksinasi ke atas kira-kira 80 peratus penduduk dan pekerja bukan warganegara yang berada di negeri ini.

Katanya, bagi fasa pertama, Kedah diperuntukkan sebanyak 50,310 dos vaksin Covid-19 yang diterima hari ini dan secara berperingkat bagi proses seterusnya.

"Pada 28 Februari ini, seramai 25,155 penerima vaksin Covid-19 adalah terdiri daripada petugas kesihatan serta pihak swasta.

"Turut menerima adalah petugas barisan hadapan antaranya polis, Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM), Jabatan Kastam Diraja Malaysia, Jabatan Imigresen, Jabatan Penjara, bomba dan lain-lain," katanya dalam kenyataan hari ini.

Dr Mohd Fikri berkata, bagi fasa kedua bermula April hingga Ogos pula, suntikan akan diberi kepada kumpulan berisiko tinggi seperti warga emas dan mereka yang menghidap penyakit tidak berjangkit (NCD) seperti jantung, diabetes, darah tinggi, penyakit pernafasan dan sebagainya.

Katanya, bagi fasa ketiga bermula Mei 2021 hingga Februari tahun depan pula, mereka yang akan menerima suntikan adalah semua penduduk Kedah berumur 18 tahun ke atas dan pekerja bukan warganegara.

Sementara itu, Dr Mohd Fikri berkata, sebanyak 57 Pusat Pemberian Vaksin (PPV) akan dibuka mengikut keperluan berdasarkan jadual suntikan yang disediakan di setiap pusat berkenaan.

Katanya, daripada jumlah itu 46 PPV adalah di fasiliti kesihatan Kementerian Kesihatan dan selebihnya di fasiliti agensi kerajaan serta dewan yang sudah dikenal pasti.

"Vaksin ini akan di tempatkan di tiga Pusat Penyimpanan Vaksin (PSV) terpilih yang dilengkapi peralatan dan persekitaran yang selamat di daerah Kota Setar, Kuala Muda serta Langkawi.

"Vaksin yang di simpan di PSV akan diedar ke PPV mengikut keperluan pusat berkenaan berdasarkan jadual suntikan yang disediakan di setiap PPV," katanya.

Beliau berkata, seramai 768 petugas kesihatan di Kedah sudah dilatih sebagai penyuntik untuk memastikan program vaksinasi dapat berjalan lancar.


Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 24 Februari 2021 @ 1:04 PM